Kumandang takbir yang beralun di pagi Aidiladha tahun ini membawa syahdu yang berbeza.
Lebih istimewanya lagi, ketibaan Hari Raya Korban pada akhir Mei ini seiring dengan cuti penggal persekolahan dan ia membuka ruang yang seluas-luasnya untuk rakyat Malaysia, untuk pulang ke gagang dan mengeratkan kembali ikatan kekeluargaan yang mungkin renggang dek tuntutan tugas.
Pertembungan dua ‘hari besar’ ini iaitu satu perayaan rohani dan satu lagi musim percutian seisi keluarga sebenarnya mencipta sebuah sinergi yang sarat dengan pengajaran.
Jika dihayati, ia bukan sekadar tentang kesesakan lebuh raya atau merancang percutian makan angin, tetapi tentang menyelami kembali erti pengorbanan sebenar.
Pengorbanan ibu bapa
Kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim A.S. dan kepatuhan luar biasa Nabi Ismail A.S. sentiasa menjadi paksi sambutan Aidiladha. Dalam konteks moden, cerminan pengorbanan ini paling jelas terlihat pada figura ibu bapa.
Cuti sekolah adalah waktu yang sangat dinantikan oleh anak-anak, namun bagi ibu bapa, ia menuntut pengorbanan wang ringgit, masa, dan tenaga.
Bermula daripada merancang perjalanan pulang ke kampung halaman, menguruskan perbelanjaan, hinggalah meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak di tengah-tengah kesibukan kerjaya.
Semua ini dilakukan tanpa keluh kesah, berbekalkan niat untuk melihat ukiran senyuman pada wajah ahli keluarga. Inilah terjemahan ikhlas erti ‘korban’ dalam landskap kekeluargaan hari ini.
Bukan sekadar ibadah, tetapi manifestasi kasih sayang
Ibadah korban yang dilaksanakan saban tahun mendidik kita tentang konsep perkongsian dan empati. Daging korban yang diagihkan kepada golongan asnaf, jiran tetangga, dan sanak saudara meruntuhkan tembok darjat dan status sosial.
Dalam suasana cuti sekolah ini, ibadah korban juga menjadi medium pendidikan praktikal yang terbaik untuk generasi muda.
Membawa anak-anak melihat sendiri proses ibadah korban, secara tidak langsung, mendidik mereka tentang rasa syukur, nilai berkongsi rezeki, dan sifat empati terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
Ini adalah pendidikan luar bilik darjah yang tidak ternilai harganya.
Raikan dengan sederhana dan selamat
Bagi warga kota, terutamanya di Selangor yang sinonim dengan gaya hidup pantas, pertembungan cuti sekolah dan Aidiladha ini adalah masa terbaik untuk menekan butang “pause”. Tinggalkan seketika bebanan kerja dan fokuslah kepada insan-insan di sekeliling kita.
Walau bagaimanapun, kegembiraan ini perlulah diseimbangkan dengan kesederhanaan.
Bagi mereka yang memandu jauh merentas negeri, bersabarlah menempuh kesesakan. Jadikan perjalanan itu sebagai sebahagian daripada proses merapatkan silaturahim sesama ahli keluarga di dalam kenderaan, bukannya medan melepaskan tekanan dan perbanyakkan berdoa kerana ini adalah masanya kita bermusafir.
Pastikan juga kediaman yang ditinggalkan di bandar berada dalam keadaan selamat. Manfaatkan inisiatif komuniti atau maklumkan kepada pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan harta benda sepanjang kita pulang ke kampung halaman.
Menyambut Aidiladha di musim cuti sekolah adalah satu anugerah masa. Ia serampang dua mata yang bukan sahaja menyuburkan nilai spiritual dalam diri, malah mengukuhkan institusi kekeluargaan.
Semoga pengorbanan masa dan tenaga kita demi membahagiakan keluarga pada musim cuti dan perayaan ini diterima sebagai satu ibadah, dan asbab kepada keharmonian komuniti dan negara secara keseluruhannya.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha dan selamat bercuti buat semua.
Nina Nazliana binti Zolkapli adalah pelajar Program Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.










