Korban Perdana MB himpun hampir 80 aktivis muda, sukarelawan

29 Mei 2026, 7:49 AM
Korban Perdana MB himpun hampir 80 aktivis muda, sukarelawan

SHAH ALAM, 29 MEI: Dato’ Menteri Besar bersama hampir 80 aktivis muda dan sukarelawan bergotong-royong menjayakan Program Korban Perdana Dato’ Menteri Besar di kediaman rasminya di sini, semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan, selain sebahagiannya diserahkan kepada surau serta rumah anak yatim.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja menyemarakkan semangat ibadah korban, malah menjadi platform memperkukuh budaya sukarelawan dan kebersamaan dalam kalangan anak muda.

“Syabas saya ucapkan kepada semua yang hadir dan bergotong-royong menjayakan program ini.

“Semoga semangat kebersamaan, nilai pengorbanan dan budaya khidmat kepada masyarakat yang ditunjukkan hari ini terus subur dalam kalangan generasi muda demi membina masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan bersatu hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Aktivis muda dan sukarelawan bergotong-royong menjayakan Program Korban Perdana Dato’ Menteri Besar di kediaman rasminya pada 28 Mei 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Turut menyertai program itu ialah anak muda daripada Penggerak Belia Selangor (PeBS), Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) dan mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL).

Hadir sama sukarelawan daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Adibakti serta Aktivis Muda Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, tengah) bergambar bersama aktivis muda dan sukarelawan ketika Program Korban Perdana Dato’ Menteri Besar di kediaman rasminya pada 28 Mei 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.