SHAH ALAM, 19 MEI: Dalam dunia yang semakin dipengaruhi arus digital dan algoritma, sastera perlu kembali berperanan sebagai benteng kemanusiaan serta suara nurani masyarakat.
Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sastera bukan sekadar himpunan kata-kata indah, sebaliknya cerminan tamadun dan suara masyarakat di sebalik lambakan maklumat digital.
Menurutnya, suara penulis, budayawan dan seniman tidak boleh dipinggirkan kerana golongan itu berperanan menjaga ingatan, budaya dan jiwa bangsa untuk terus membina kesedaran masyarakat.
"Seperti yang pernah diungkapkan oleh Usman Awang, “Tulislah dengan hati nurani rakyat.”
"Dalam dunia yang semakin bising dengan “digital swarm”, karya sastera dan budaya menjadi ruang untuk kita kembali mendengar, memahami dan menafsir realiti masyarakat dengan lebih manusiawi," katanya di Facebook.

Malam tadi, Amirudin merasmikan program Pemukiman Sasterawan dan Karyawan Selangor 2026 yang menghimpunkan 70 peserta, termasuk penggiat seni budaya dari pelbagai latar belakang.
Beliau turut menyentuh bagaimana karya besar seperti One Hundred Years of Solitude oleh Gabriel García Márquez, Theory of Moral Sentiments oleh Adam Smith, serta The Anxious Generation oleh Jonathan Haidt membantu manusia memahami persoalan sejarah, moral, ekonomi dan keresahan generasi hari ini dengan lebih mendalam.
Sementara itu, katanya, pelbagai cadangan, teguran serta pandangan bernas dikemukakan karyawan dalam sesi dialog, khususnya berkaitan usaha memperkukuh ekosistem sastera dan budaya negara.
Beliau menjelaskan perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan matang amat penting dalam memastikan dunia sastera terus relevan, dihargai dan mampu berkembang seiring cabaran semasa.
"Sesebuah negeri dan negara yang benar-benar mahu maju harus memberi ruang kepada kelompok intelektual untuk terus menyumbang idea, menegur dengan hikmah serta membina kesedaran masyarakat.
"Semoga program ini menjadi ruang yang subur untuk mencetuskan idea baharu, memperkukuhkan jaringan strategik dan melahirkan lebih banyak karya berkualiti yang mampu membina masyarakat berilmu, berbudaya dan berdaya fikir tinggi khususnya di Selangor," katanya.









