SHAH ALAM, 28 MEI: Selangor komited mempercepatkan proses pewartaan tanah bagi Kampung Orang Asli (KOA) di daerah Gombak bagi memastikan hak dan kepentingan masyarakat Orang Asli terus terpelihara.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli Papparaidu Veraman berkata daerah Gombak mempunyai lapan KOA, namun setakat ini hanya KOA Hulu Kuang telah diwartakan di bawah Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
Menurut beliau, baki tujuh kampung masih dalam proses pewartaan iaitu KOA Hulu Kemensah, KOA Batu 12, KOA Sungai Relang, KOA Hulu Batu, KOA Batu 16, KOA Bukit Lagong dan KOA Sungai Buloh.
“Mesyuarat Pewartaan Tanah Orang Asli Daerah Gombak ini turut memberi tumpuan kepada perkembangan semasa proses pewartaan tanah serta isu dan cabaran yang dihadapi termasuk status tanah, proses pengukuran dan isu pertindihan kawasan.
“Antaranya melibatkan KOA Hulu Kemensah yang berdepan isu pertindihan dengan kawasan rezab hidupan liar yang memerlukan penelitian dan penyelarasan lanjut antara agensi berkaitan,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Papparaidu, mesyuarat itu turut disertai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Jabatan Perancangan Negeri Selangor (JPNS), Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Katanya, penglibatan semua agensi terbabit penting bagi menyelaras tindakan serta mendapatkan maklum balas berkaitan proses pewartaan tanah Orang Asli di daerah berkenaan.
Beliau turut memaklumkan satu lagi mesyuarat susulan akan diadakan dalam tempoh dua bulan akan datang bagi meneliti perkembangan terkini serta mempercepatkan penyelesaian proses pewartaan tanah.
“Usaha ini penting bagi memastikan proses pewartaan dapat diselesaikan dengan lebih berkesan demi menjamin hak serta kepentingan masyarakat Orang Asli,” katanya.








