SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Negeri terus memberi perhatian terhadap isu tanah beberapa kampung Orang Asli di daerah Klang susulan masih terdapat penempatan yang belum selesai urusan pewartaan.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Pewartaan Tanah Orang Asli Daerah Klang yang dipengerusikannya di Bilik Gerakan Daerah semalam.
Menurut beliau, masih terdapat dua kampung Orang Asli di daerah itu yang belum diwartakan iaitu Kampung Orang Asli Pulau Indah dan Kampung Orang Asli Pulau Ketam.
"Kampung Orang Asli Pulau Indah mempunyai 22 keluarga dengan sekitar 72 penduduk dan masih memerlukan kerja pengukuran keluasan tanah sebelum proses pewartaan dapat diteruskan.
"Manakala, Kampung Orang Asli Pulau Ketam pula mempunyai sekitar 20 keluarga dengan 70 penduduk dan masih dalam proses pewartaan," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Pada masa sama, beliau dimaklumkan Kampung Orang Asli Bagan Hailam sudah diwartakan namun kawasan berkenaan tidak lagi didiami kerana sering dilanda air pasang, hakisan tebing serta keadaan tanah yang berlumpur.
Papparaidu berkata masyarakat di kawasan itu juga tidak mempunyai tapak perkuburan sendiri dan perlu membawa jenazah ke Pulau Carey untuk urusan pengebumian.
Katanya, beliau turut membangkitkan isu berkaitan Tanah Orang Asli Bukit Kemuning yang melibatkan permohonan tanah untuk tindakan lanjut pihak berkaitan.
"Saya berharap semua urusan berkaitan pewartaan tanah Kampung Orang Asli dapat dipercepatkan supaya hak dan kepentingan masyarakat Orang Asli terus terjamin dan terpelihara," katanya.









