ADN Kota Damansara mahu lebih banyak AED di kawasan tumpuan awam

28 Mei 2026, 7:30 AM
ADN Kota Damansara mahu lebih banyak AED di kawasan tumpuan awam

SHAH ALAM, 28 MEI: Kemudahan Defibrilator Luaran Automatik (AED) di kawasan tumpuan awam khususnya kawasan perumahan padat di Kota Damansara perlu diperluaskan bagi membantu meningkatkan kadar respons kecemasan kes serangan jantung.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim berkata ketika ini beberapa AED telah dipasang hasil kerjasama dengan hospital swasta selain turut disediakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Izuan Kasim ketika ditemu bual dalam program Lunch on Us! terbitan Selangor Journal yang disiarkan di Facebook pada 23 Mei 2024. Foto AMAR SHAH MOHSEN/SELANGOR JOURNAL

“Setakat ini kita ada kerjasama dengan beberapa hospital swasta termasuk Thomson dan Sunway bagi pemasangan AED di beberapa lokasi sekitar Kota Damansara.

“Selain itu, kemudahan AED turut disediakan di PPR Kota Damansara bagi kegunaan penduduk setempat,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, kemudahan berkenaan bagaimanapun perlu diperbanyakkan terutama di kawasan berkepadatan tinggi yang memerlukan akses pantas terhadap bantuan kecemasan.

“Tetapi mungkin perlu diperbanyakkan lagi di kawasan-kawasan tumpuan kerana DUN Kota Damansara ini juga ada kawasan padat penduduk yang mungkin memerlukan kemudahan AED,” katanya.

Dalam masa sama, Izuan menyambut baik cadangan memperluaskan pemasangan AED di seluruh Selangor dan berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan dana khas kepada wakil rakyat bagi tujuan tersebut.

“Saya sebagai ADN Kota Damansara menyambut baik saranan itu dan mungkin dalam sidang akan datang kita boleh minta supaya ada dana kepada ADN untuk memasang AED di kawasan tumpuan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memaklumkan sedang meneliti garis panduan serta mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan dalam usaha memperluaskan penyediaan AED di kawasan awam dan lokasi tumpuan umum.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata perkara itu perlu diperhalusi secara menyeluruh bagi memastikan capaian kemudahan serta pendidikan penggunaannya dapat dipertingkat kepada rakyat Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.