SHAH ALAM, 28 MEI: Seramai 130 pelajar diraikan menerusi Program Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim berkata program berkenaan turut memberi perhatian kepada pelajar yang menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi akademik mereka.
"Setiap sekolah diminta mencalonkan 10 pelajar yang bukan sahaja memperoleh keputusan baik, tetapi menunjukkan perubahan ketara dalam prestasi mereka," katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, program tahunan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu bukan sahaja memberi pengiktirafan malah turut meraikan mereka yang menunjukkan lonjakan besar dalam pencapaian akademik.
"Sebagai contoh mungkin sebelum ini mereka tidak pernah lulus, tetapi akhirnya berjaya memperoleh kelulusan dalam SPM dan mereka juga diraikan bersama.
"Terima kasih kepada Segi University & College atas kerjasama berterusan dalam bersama-sama meraikan pelajar cemerlang serta menyokong pembangunan pendidikan anak muda di Kota Damansara," ujarnya.
Beliau berkata pengiktirafan itu diharap dapat menyuntik motivasi kepada pelajar untuk terus mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.
"Insya-Allah saya doakan mereka menjadi pelajar cemerlang yang mampu memberi nilai tambah kepada negara," katanya lagi.
Menurut Izuan, program berkenaan akan akan diteruskan setiap tahun kerana percaya penghargaan terhadap usaha pelajar mampu menjadi dorongan untuk mereka terus Berjaya.
"Saya nak mereka habis belajar dan balik membawa segulung ijazah, seterusnya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pengetua sekolah bagi mengenal pasti pelajar berisiko tidak menduduki peperiksaan SPM.
Katanya, antara faktor dikenal pasti termasuk pelajar yang terpaksa menjaga ibu bapa sakit selain kehilangan ibu bapa dan perlu menyara keluarga.
"Jadi kita salurkan mereka kepada pihak zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya ada bantuan bulanan dan sokongan yang membolehkan mereka terus mengambil SPM.
"Alhamdulillah tahun lepas kita berjaya membantu beberapa pelajar dan jumlah pelajar yang tidak mengambil SPM juga menurun berbanding tahun sebelumnya," katanya.










