Penduduk mahu AED diperluas di kawasan tumpuan awam termasuk sekolah

16 Mei 2026, 12:24 PM
Penduduk mahu AED diperluas di kawasan tumpuan awam termasuk sekolah

PETALING JAYA, 16 MEI: Pemasangan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) disaran diperluaskan di kawasan tumpuan awam termasuk sekolah dan rumah ibadat bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kecemasan, khususnya kes serangan jantung mengejut.

Ahli Majlis Zon 9 Petaling Jaya, Yip Sean Yi berkata kehadiran AED di lokasi tumpuan awam amat penting bagi membolehkan bantuan awal diberikan sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan.

Katanya, usaha itu perlu disokong dengan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan penggunaan AED supaya lebih ramai mampu bertindak segera ketika berlaku insiden kecemasan.

“Sekarang ini semakin banyak kes individu rebah secara tiba-tiba ketika bermain badminton atau bersukan walaupun masih muda.

“Sekurang-kurangnya apabila penduduk mempelajari CPR dan cara menggunakan AED, mereka tahu tindakan awal yang perlu dilakukan jika berlaku kecemasan di rumah atau kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui selepas Program Latihan AED dan Tindak Balas Kecemasan Asas bersama komuniti SS20 di Damansara Utama, di sini hari ini.

Orang ramai melakukan amali cara penggunaan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) sempena majlis pelancaran dan sesi latihan pengunaan peralatan berkenaan di Restoran Golden Kim Wah, Damansara Kim, Petaling Jaya pada 16 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Terdahulu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) SS20 Damansara Utama mengadakan Program Latihan AED dan Tindak Balas Kecemasan Asas serta Pelancaran Rasmi Peranti AED di SS20 yang disempurnakan EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin.

Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama turut menyumbang RM5,000 bagi penyediaan mesin AED yang ditempatkan di sebuah restoran berhampiran SS20 untuk kegunaan kecemasan penduduk setempat.

Sementara itu, Pengerusi KRT SS20 Damansara Utama, James Lee berkata penempatan AED di restoran berkenaan dipilih kerana lokasinya strategik di tengah kawasan perumahan serta mudah diakses orang ramai ketika kecemasan.

“Lokasi itu dipilih kerana berada di tengah kawasan perumahan dan mudah diakses orang ramai. Saya berharap jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh mendapatkan bantuan segera melalui kemudahan AED ini,” katanya.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin bergambar bersama penduduk ketika majlis perasmian mesin Defibrilator Luaran Automatik (AED) dan sesi latihan penggunaan AED di Restoran Golden Kim Wah, Damansara Kim, Petaling Jaya pada 16 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Bagi penduduk SS20, Yee Kong Wong, 45, latihan penggunaan AED dan bantuan kecemasan asas wajar diperbanyakkan bagi meningkatkan pengetahuan serta kesiapsiagaan masyarakat.

Katanya, walaupun penggunaan AED dilihat mudah, latihan dan penerangan yang tepat masih diperlukan bagi memastikan alat itu digunakan dengan betul ketika kecemasan.

“Sekurang-kurangnya kita mempunyai ilmu asas yang mungkin dapat membantu menyelamatkan nyawa seseorang,” katanya.

Orang ramai didedahkan cara penggunaan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) sempena majlis pelancaran dan sesi latihan peralatan berkenaan di Restoran Golden Kim Wah, Damansara Kim, Petaling Jaya pada 16 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.