SHAH ALAM, 27 MEI: Lelaki warga emas berusia 67 tahun maut selepas tersepit di bawah kereta di Taman Seri, Batang Kali, Hulu Selangor hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.20 petang dan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba, anggota mendapati seorang lelaki dewasa tersepit dan berada di bawah kereta Proton Saga.
"Kerja mengeluarkan mangsa dijalankan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa berjaya dibawa keluar namun disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.








