SHAH ALAM, 25 MEI: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Ampang Pecah-Rasa, Kuala Kubu Bharu awal pagi Isnin.
Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal berusia 28 tahun dan pembonceng berusia 14 tahun.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.14 tengah malam.
“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Waja dan sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.
Katanya, dua mangsa lelaki yang menaiki motosikal disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Seorang wanita berusia 51 tahun yang memandu kereta mengalami kecederaan. Pihak bomba turut menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.








