MBPJ perlu jadi 'bandar span' tangani banjir kilat - Ahli Majlis

25 Mei 2026, 10:00 AM
MBPJ perlu jadi 'bandar span' tangani banjir kilat - Ahli Majlis
MBPJ perlu jadi 'bandar span' tangani banjir kilat - Ahli Majlis

SHAH ALAM, 25 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) disaran bergerak ke arah konsep “bandar span” (sponge city) bagi memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim sekali gus menangani masalah banjir kilat yang semakin membimbangkan.

Ahli Majlis Zon 19 Nalina Nair Rama Krishnan berkata perubahan iklim kini memberi kesan ketara kepada kawasan bandar dengan corak hujan semakin tidak menentu selain kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap berlaku.

"Bandar yang pesat membangun seperti Petaling Jaya berdepan risiko banjir kilat lebih tinggi akibat sistem saliran lama, pembangunan bandar yang padat serta kekurangan kawasan serapan air.

“Kita tidak boleh terus merancang Petaling Jaya berdasarkan data iklim lama,” katanya ketika mesyuarat MBPJ yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Nalina berkata kebanyakan sistem saliran di bandar itu dibina puluhan tahun lalu berdasarkan andaian yang tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa kerana hujan lebat dalam tempoh singkat kini melebihi kapasiti infrastruktur sedia ada.

“Petaling Jaya perlu bergerak ke arah model ‘bandar span’, iaitu kawasan bandar direka untuk menyerap, menyimpan, memperlahankan dan menggunakan semula air hujan secara semula jadi berbanding menyalurkannya terus ke longkang dan sungai.

“Bandar ini perlu mengubah cara berinteraksi dengan air. Mitigasi banjir tidak boleh hanya tertumpu kepada pembinaan longkang yang lebih besar,” katanya.

Ahli Majlis Zon 19 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Nalina Nair Rama Krishnan berucap ketika mesyuarat MBPJ pada 25 Mei 2026. — Foto FACEBOOK/MAJLIS BANDARAYA PETALING JAYA

Pada Mac lalu, The Star melaporkan MBPJ sedang mempertimbangkan projek perintis bandar span di Kwasa Damansara bagi menangani pengurusan air hujan dan masalah banjir.

Nalina turut mencadangkan sistem takungan air di tapak diperluas secara lebih agresif termasuk membina tangki takungan air bawah tanah di padang awam dan kawasan lapang.

"Liputan kanopi pokok bandar juga perlu dipertingkat selain mewujudkan koridor hijau bersambung di sepanjang sungai dan rizab saliran bagi membantu memperlahankan aliran air, meningkatkan serapan tanah dan mengurangkan tekanan terhadap sistem saliran.

“Pokok bandar matang memainkan peranan penting dalam menyerap air hujan sebelum sampai ke permukaan tanah selain membantu menurunkan suhu bandar dan meningkatkan kualiti udara,” katanya.

Sementara itu, Nalina berkata projek pengorekan mendapan di Tasik Taman Aman dijangka meningkatkan kapasiti simpanan air hujan sehingga 50,000 meter padu sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sistem saliran hiliran dan Sungai Penchala ketika hujan lebat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.