SHAH ALAM, 12 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggesa pemilik rumah di sekitar kawasan itu merobohkan struktur haram yang menutupi longkang kerana dipercayai menjadi antara punca banjir kilat di kawasan itu.
Datuk Bandarnya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata pihak berkuasa tempatan itu akan mengeluarkan notis kepada penduduk terlibat dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, tindakan menutup longkang dibimbangi menghalang sistem aliran air terutama ketika hujan lebat.
“Sesetengah rumah menutup longkang mereka. Kita bimbang mungkin terdapat halangan yang tidak kelihatan di bawahnya yang boleh mengganggu sistem aliran air.
“Longkang kita tidak mampu menampung jumlah air sekiranya taburan hujan melebihi 60 milimeter selama lebih sejam,” katanya lapor The Star.
Beliau mengulas kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Petaling Jaya awal bulan ini susulan hujan lebat pada waktu petang.
Antara kawasan paling teruk terjejas ialah medan selera di Jalan 223, Seksyen 51A apabila 60 gerai dinaiki air sebanyak dua kali dalam tempoh dua minggu.
Sementara itu, Mohamad Zahri berkata MBPJ turut mengambil beberapa langkah bagi membantu peniaga yang terkesan akibat kejadian berulang itu.
Katanya, selain pengecualian sewa bagi Mei dan Jun, sesi libat urus bersama peniaga telah diadakan termasuk menawarkan pilihan untuk berpindah ke lokasi lain.
“Mereka diberi pilihan untuk berpindah, tetapi memilih untuk kekal kerana kawasan itu popular.
“MBPJ turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan siren untuk memberi amaran kepada peniaga lebih awal sekiranya berlaku banjir,” katanya.











