PETALING JAYA, 10 MEI: Tiga lagi pembangunan Perpustakaan Permainan@Toy Library disasar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan keseluruhan lapan kemudahan diwujudkan tahun ini.
Datuk Bandarnya Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata cadangan lokasi kemudahan itu meliputi Blok 3 Flat Desa Mentari, Flat PKNS Taman Dato' Harun serta Flat Desaria Fasa 5A dan 5B.
Beliau menjelaskan inisiatif itu dilaksana berteraskan konsep bandar mesra kanak-kanak, dengan idea dan pandangan mereka dijadikan asas utama reka bentuk serta penyediaan kemudahan.
Tambahnya, langkah berkenaan sebahagian usaha berterusan MBPJ melaksanakan agenda Bandar Mesra Kanak-kanak bagi mewujudkan persekitaran inklusif, selamat dan kondusif.

“Kita mahu Toy Library ini benar-benar memenuhi keperluan kanak-kanak, sebab itu kita minta idea daripada mereka sendiri termasuk reka bentuk dan kemudahan yang mereka mahukan.
"Kita mahu kanak-kanak beri pandangan, warna, cat apa dan sebagainya. Daripada situ kita rakamkan bukti untuk buat Toy Library memang ada libat urus semua pihak,” katanya selepas merasmikan Toy Library@Apartment Desa Mutiara di sini, hari ini.
Agenda Bandar Mesra Kanak-kanak itu dilaksanakan bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi perkembangan kanak-kanak.
Ketika ini, kemudahan itu disediakan di Apartment Idaman Damansara Damai, PPR Lembah Subang 2, Flora Damansara, Pangsapuri Petaling Perdana Jalan PJS 1/21 dan Apartment Desa Mutiara.
Dalam pada itu, Mohamad Zahri menjelaskan lebih 100 kanak-kanak menyertai sesi libat urus sejak tahun lalu bagi mendapatkan cadangan warna, susun atur dan jenis kemudahan yang diperlukan.

Menurutnya, setiap pustaka dibangunkan dengan anggaran kos sekitar RM45,000 dan penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat, termasuk penyediaan bumbung serta kemudahan tambahan lain.
“Ini inisiatif pertama kita dan kita menjemput semua vendor, pemaju dan syarikat untuk memberi sumbangan buku, alat permainan dan apa juga untuk mengimarahkan lagi Toy Library yang kita buat.
“Kalau ada kawasan lain yang perlukan Toy Library, boleh mohon kepada kita dan pasukan kita akan turun melihat kesesuaian kawasan,” katanya.
Tambahnya, elemen pendidikan dan pembentukan sahsiah diterapkan dengan kanak-kanak dilatih menyusun semula permainan selepas digunakan bagi memupuk sikap bertanggungjawab serta berdisiplin.

Perpustakaan Permainan menyediakan ruang untuk kanak-kanak bermain, belajar dan meminjam alat permainan bagi menyokong perkembangan kognitif, fizikal dan sosio-emosi mereka.
Berteraskan konsep ‘bermain adalah pembelajaran’, projek ini memberi peluang kepada kanak-kanak membentuk dan mencorakkan ruang permainan di kawasan kejiranan melalui penyertaan komuniti.
Pada 2023, MBPJ mendapat pengiktirafan Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF, sekaligus menjadikannya pihak berkuasa tempatan pertama dalam negara menerima anugerah itu.









