MBPJ, KGNS meterai MoU projek tebatan banjir, tingkat keselamatan penduduk

25 Mei 2026, 7:51 AM
MBPJ, KGNS meterai MoU projek tebatan banjir, tingkat keselamatan penduduk
MBPJ, KGNS meterai MoU projek tebatan banjir, tingkat keselamatan penduduk

SHAH ALAM, 25 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kelab Golf Negara Subang (KGNS) bagi melaksanakan projek naik taraf perparitan di Jalan SS 7/2, SS 7, dalam usaha memperkukuh langkah tebatan banjir.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata inisiatif itu merupakan langkah proaktif MBPJ dalam menangani isu banjir secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, projek berkenaan juga sebahagian usaha berterusan pihak berkuasa tempatan itu dalam memperkukuh infrastruktur saliran sedia ada, khususnya di kawasan berisiko sekitar Kelana Jaya.

"Ia bukan sahaja mengurangkan risiko banjir, malah memberi penekanan kepada aspek keselamatan awam dan kesejahteraan penduduk," katanya pada mesyuarat penuh MBPJ hari ini.

Kerjasama itu dijangka berlangsung sehingga 13 Mac 2055.

Menurut Mohammad Zahri, projek itu melibatkan penggunaan tanah seluas 3,150 meter persegi dengan jajaran sepanjang 630 meter bagi pelaksanaan sistem perparitan yang mengikut spesifikasi teknikal ditetapkan.

Beliau berkata, perlindungan insurans pihak ketiga akan diberikan kepada kontraktor yang mengendalikan projek bagi menjamin keselamatan, harta milik KGNS serta orang awam sepanjang tempoh pelaksanaan.

Antara skop kerja yang bakal dilaksanakan adalah pembinaan sistem perparitan, pemasangan pagar anti-panjat serta jaring keselamatan dan pembinaan semula laluan pacu lasak di kawasan terlibat.

"Sejurus projek siap sepenuhnya, kemudahan ini akan diserahkan kepada KGNS untuk tujuan penyelenggaraan berkala dan pemantauan keselamatan," katanya.

MBPJ turut memberi penghargaan kepada KGNS dan Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) dalam merealisasikan projek itu.

"MoU ini mencerminkan kerjasama strategik yang kukuh antara sektor awam dan swasta, sekali gus memperkukuh komitmen berterusan dalam membangunkan bandar selamat, mampan dan berdaya tahan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.