SHAH ALAM, 25 MEI: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI terus komited membantu atlet yang sedang membina nama dalam arena sukan menerusi pelbagai bentuk sokongan termasuk bantuan kewangan dan pembangunan kerjaya.
Ketuanya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan berkenaan disasarkan kepada atlet yang kurang mendapat sokongan daripada pihak lain bagi memastikan mereka terus berkembang dan tidak tercicir dalam bidang sukan.
Menurutnya, Yayasan MBI turut memainkan peranan menghubungkan atlet berpotensi dengan badan berkaitan seperti Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Bola Sepak Selangor bagi membuka lebih banyak peluang pembangunan sukan.
“Kita sentiasa membantu atlet yang baharu nak cipta nama atau yang sukar mendapat bantuan daripada pihak lain. Objektif kita kerana tidak mahu atlet ini ketinggalan sekali gus terus berkembang menjadi lebih baik.
“Selain kewangan, Kerajaan Negeri dan Yayasan MBI membantu hubungkan atlet berpotensi dengan pihak berkaitan sebagai contoh sekiranya ada atlet yang cemerlang dalam bola sepak kita boleh hubungkan mereka dengan Persatuan Bola Sepak Selangor dan atlet sukan lain boleh beri kepada Majlis Sukan Negeri,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Sumbangan Atlet Sukan di Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini.
Menerusi majlis tersebut, seramai 18 atlet terdiri daripada atlet cilik dan profesional menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM65,000 daripada Yayasan MBI bagi membantu pembangunan kerjaya sukan mereka.
Menurut Ahmad Azri, penerima bantuan melibatkan pelbagai bidang sukan antaranya tinju, permotoran, para golf, tenis, judo, bola sepak, push bike dan badminton.
Katanya, Yayasan MBI tidak menyediakan peruntukan khusus mengikut jenis atlet, sebaliknya menggunakan dana ‘empowerment’ yang turut disalurkan bagi membantu komuniti dan mangsa bencana.
“Kita harap dengan bantuan ini atlet akan terus kekal berkembang dan mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan sekali gus dapat mengharumkan nama Selangor serta Malaysia,” katanya.










