SHAH ALAM, 3 MEI: Kuota Insentif Haji Muassasah Selangor yang diperuntukkan Kerajaan Negeri dengan nilai keseluruhan RM9 juta bagi manfaat 6,000 jemaah masih berbaki 3,200 tempat, setakat ini.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata kira-kira 2,800 permohonan telah diterima dan diluluskan sejak ia dibuka pada 23 Februari lalu.
Beliau berkata permohonan masih dibuka sehingga 15 Julai 2026 melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan jemaah yang belum memohon digalakkan segera berbuat demikian.

“Terkini kita sudah cecah hampir 2,800 permohonan dan berbaki 3,200 lagi. Mungkin ada yang sudah buat permohonan. cuma ada DUN yang masih belum hantar kepada saya, tapi saya yakin jumlah tu akan meningkat.
“Walaupun ada yang jemaah sudah pergi, apabila balik nanti mereka masih boleh memohon kerana kita tutup permohonan pada 15 Julai 2026. Kita galakkan mereka mohon kerana tahun ini jumlahnya lebih besar RM1,500 sumbangan Kerajaan Negeri.
“Rugi jika tidak ambil peluang ini kerana kuota kita 6,000 orang dan masih lagi banyak. Asalkan pengundi Selangor, mengerjakan haji secara muassasah, insya-Allah,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peningkatan insentif kepada RM1,500 berbanding RM1,000 sebelum ini diluluskan menerusi Belanjawan Selangor 2026 dengan peruntukan keseluruhan RM9 juta.
Sejak diperkenalkan pada 2022, inisiatif Insentif Haji Muassasah telah memanfaatkan kira-kira 18,000 jemaah haji dari Selangor.
Bagi memudahkan urusan permohonan, jemaah yang layak hanya perlu mengemukakan salinan bercetak Jadual Penerbangan Haji Muassasah 2026 yang memaparkan kod MUAS ke Pusat Khidmat Masyarakat atau Pejabat Penyelaras DUN masing-masing.











