SHAH ALAM, 3 MEI: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menaja penganjuran Kejohanan Barebow Asia 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, di sini, sekali gus memperkukuh pembangunan sukan memanah di negeri ini.
Kejohanan edisi ketiga itu berlangsung sejak 29 April dan melabuhkan tirai hari ini, dengan Malaysia menjadi tuan rumah menerusi Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM). Acara tersebut menghimpunkan lebih 700 atlet dari 14 negara Asia.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya menyediakan pelbagai bentuk tajaan termasuk sumbangan kewangan serta makanan kepada atlet sepanjang kejohanan berlangsung.

“Penganjuran ini merupakan yang pertama di Malaysia dan Selangor, dengan sambutan amat menggalakkan daripada negara luar.
“Kita berharap sukan barebow akan terus mendapat pengiktirafan dan berpotensi diketengahkan dalam temasya sukan besar seperti Sukan SEA dan SUKMA,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih sembilan pingat keseluruhan iaitu satu emas, tiga perak dan lima gangsa menerusi kategori individu dan berpasukan.
Lebih membanggakan, atlet negara turut mencipta sejarah apabila memecahkan rekod dunia bagi kategori berpasukan lelaki dengan catatan 1,864 mata.










