SEPANG, 24 MEI: Seramai 28 aktivis Malaysia yang sebelum ini ditahan Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.
Ketibaan mereka disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Ketua Delegasi GSF 2.0 bersama lebih 100 ahli keluarga dan penyokong di balai ketibaan KLIA.
Media sebelum ini melaporkan kesemua 428 aktivis GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa telah dibebaskan.
Bagaimanapun, seorang lagi aktivis Malaysia, Razman Mat Ali, masih menjalani rawatan di Istanbul, Turkiye selepas disahkan mengalami ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel.

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan semua aktivis menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijadual pulang ke tanah air.
Terdahulu, Amirudin menyifatkan penahanan 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 sebagai satu “penculikan” oleh rejim Zionis.
Menurut beliau, kumpulan aktivis terbabit turut menerima tekanan dan penderaan fizikal ketika ditahan di perairan antarabangsa sebelum dibebaskan.
Pada 4 April lalu, Amirudin diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta Delegasi GSF 2.0.

Misi berkenaan digerakkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bersama rakan strategik bagi memecahkan kepungan ke atas Gaza.
Sementara itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata misi GSF 2.0 berjaya memberi tekanan besar kepada Israel selain membuka mata dunia terhadap kekejaman rejim itu ke atas aktivis kemanusiaan.
Menurutnya, tekanan antarabangsa turut menggoncang Israel sehingga timbul usaha membubarkan Knesset (Parlimen Israel) selepas tersebarnya video yang didakwa memaparkan layanan kasar terhadap aktivis GSF 2.0.












