SHAH ALAM, 22 MEI: Penyertaan usahawan dalam program latihan anjuran Platform Selangor (PLATS) memberi impak positif apabila ada peniaga berjaya meraih nilai jualan sehingga RM40,000 menerusi program PLATS Masuk Bazar pada Ramadan lalu.
Inisiatif anjuran Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama Agrobank itu membantu peniaga kecil meningkatkan pendapatan selain menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai di bazar Ramadan terpilih.
Peniaga minuman, Mohammad Kamal Shurin Abdullah, 56, berkata beliau merekodkan nilai jualan tersebut melalui transaksi digital sepanjang 29 hari berniaga di Bazar Ramadan USJ 4.

“Melalui program latihan ini saya belajar mengenai pemasaran digital dan ia membuka minda untuk belajar perkara baharu seiring peredaran zaman.
“Sebelum ini, nilai jualan melalui gerai yang diusahakan depan Masjid Al-Falah, Madaniah, di USJ 18 tidak menentu dengan purata antara RM50 hingga RM80 setiap hari.
"Jadi, selepas menyertai latihan ini ia memberi keyakinan untuk mengembangkan perniagaan seiring dengan status saya sebagai orang kurang upaya (OKU),” katanya kepada Media Selangor.
Beliau merupakan antara pemenang hadiah ‘Cashless’ Transaksi Bazar Ramadan Agrobank 2026 yang disampaikan EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi di Hotel Mardhiyyah di sini, semalam.
Sementara itu, peniaga kuih-muih dan cakoi, Fazilah Ibrahim, 43, berkata jualan perniagaannya di Bazar Ramadan Bukit Sentosa meningkat antara 70 hingga 80 peratus selepas mengikuti kursus latihan PLATS.

Menurutnya, latihan berkenaan membantu memperluaskan pengenalan terhadap perniagaannya selain meningkatkan tempahan kuih-muih bagi pelbagai majlis.
“Selepas sertai kursus latihan PLATS, perniagaan makin dikenali dan tempahan kuih untuk majlis juga semakin bertambah,” katanya.
Program PLATS Masuk Bazar merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu peniaga kecil meningkatkan pendapatan serta menggalakkan transaksi tanpa tunai di bazar-bazar terpilih.
Terdahulu, Mohd Najwan berkata program itu diteruskan sepanjang Ramadan lalu dengan peruntukan RM60,000 membabitkan 20 bazar terpilih.
Katanya, setiap bazar menerima 300 kupon digital bernilai RM10 setiap satu yang diagihkan kepada pengunjung bagi membantu meringankan kos perbelanjaan mereka.









