Ahli politik diseru ambil positif titah Sultan Selangor, fokus kebajikan rakyat

21 Mei 2026, 2:00 PM
Ahli politik diseru ambil positif titah Sultan Selangor, fokus kebajikan rakyat
Ahli politik diseru ambil positif titah Sultan Selangor, fokus kebajikan rakyat
Ahli politik diseru ambil positif titah Sultan Selangor, fokus kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 21 MEI: Ahli politik diseru mengambil pendekatan positif terhadap titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan mengurangkan perbalahan politik serta mengutamakan kebajikan rakyat.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang sentiasa mengingatkan semua pihak supaya mengekalkan kerukunan dan keharmonian negara.

“Jadi, di pihak Kerajaan Negeri sememangnya bersyukur kerana Tuanku sentiasa cakna dan tidak pernah jemu memberikan peringatan dan juga nasihat kepada kita semua.

“Oleh yang demikian, kita sewajarnya mengambil sikap yang positif dengan memberikan khidmat yang terbaik sama ada sebagai ahli politik termasuk peringkat pentadbiran negeri. Semua pihak perlu fokus terhadap tugas untuk kebajikan serta keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang ‘Cashless’ Transaksi Bazar Ramadan Agrobank 2026 di Hotel Mardhiyyah di sini, hari ini.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi bersama peserta ketika Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang "Cashless" Transaksi Bazar Ramadan Agrobank dan Sesi Penutup U-Plats Digital Siri 3 (Kumpulan C) di Hotel Mardhiyah Suites, Shah Alam pada 21 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, Mohd Najwan berharap semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang memberi tumpuan terhadap tugas dan khidmat kepada rakyat tanpa terlalu terlibat dengan budaya ‘politicking’.

Beliau berkata pemimpin politik juga perlu menunjukkan pendirian yang konsisten sama ada di peringkat lapangan mahupun dalam wacana media.

“Kurangkan ‘politicking’ terutamanya isu-isu sensitif seperti isu kaum dan agama. Ahli politik perlu lebih bertanggungjawab dan konsisten dalam pendirian mereka.

“Jangan apabila sesuatu isu dilihat menguntungkan dari segi politik, baru hendak tunjuk kesetiaan kepada institusi raja, tetapi apabila tiada keuntungan politik hanya berdiam diri,” ujarnya.

Terdahulu, Sultan Selangor menyeru rakyat pelbagai kaum supaya sentiasa menghormati sensitiviti antara satu sama lain demi memelihara keharmonian dan kestabilan negara.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa yang menyaksikan terlalu banyak pertelingkahan dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.