MB menghadap Sultan Selangor, bentang perkembangan pakej daya tahan ekonomi negeri

21 Mei 2026, 2:45 PM
MB menghadap Sultan Selangor, bentang perkembangan pakej daya tahan ekonomi negeri

SHAH ALAM, 21 MEI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan perkembangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai langkah membantu rakyat dan sektor perniagaan yang terkesan akibat krisis di Asia Barat.

Pembentangan itu dibuat ketika beliau bersama Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

"Usai mesyuarat bersama Peguam Negara, patik turut membentangkan perkembangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor kepada DYMM Tuanku.

“Pakej Pengukuhan Daya Tahan ini telah dirangka bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan yang terkesan akibat krisis di Asia Barat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Amirudin, Sultan Selangor berkenan menerima pembentangan perkembangan pakej berkenaan selain menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri terus memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Pada masa sama, Amirudin turut menjunjung kasih atas perkenan Baginda menerima menghadap beliau bersama Peguam Negara.

"Semoga DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor terus dikurniakan afiyah dan kesihatan yang baik, kebijaksanaan, taufik dan hidayah, kekal qarar bersemayam menaungi Negeri Selangor dengan penuh kedaulatan dan kemuliaan," katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap ketika sidang media Strategi Persediaan Kerajaan Negeri Mendepani Krisis Asia Barat di Dewan Annex, Shah Alam pada 16 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pada April lalu, Amirudin membentangkan pakej berjumlah RM141 juta antaranya bagi mengukuh keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mengawal peningkatan keterlaluan inflasi.

Pakej itu turut menekankan usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan bantuan bersasar kepada golongan paling terkesan susulan krisis Asia Barat ketika ini.

Fasa satu Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan beliau bulan lalu akan dilaksanakan bermula 15 Jun ini.

Ia meliputi Jualan Ehsan Rahmah, Baucar KitaSelangor, Subsidi Tambang Pengangkutan Awam Bantuan Sokongan Sektor Pertanian, Pemerkasaan Usahawan Koperasi Selangor dan Gudang Makanan Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.