SHAH ALAM:Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya sentiasa menghormati sensitiviti antara satu sama lain demi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, semangat Aidiladha mengajar umat Islam mengenai erti pengorbanan, keikhlasan serta perpaduan ummah, yang perlu dijadikan panduan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan, mereka menunjukkan satu contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam,” titah Baginda dalam Perutusan Aidiladha 2026.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan harapan agar umat Melayu dan Islam di negara ini terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa.
“Beta berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata.
“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah,” titah Baginda.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa yang menyaksikan terlalu banyak pertelingkahan dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Titah baginda, perpecahan dalam kalangan masyarakat terdahulu telah membuka ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan sehingga melemahkan kedudukan bangsa di tanah air sendiri.

Dalam masa sama, Sultan Selangor menegaskan perpaduan orang Melayu tidak boleh disalah tafsir sebagai usaha bermusuhan dengan kaum lain, sebaliknya ia perlu menjadi asas kepada negara yang aman dan stabil.
“Sebaliknya, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling hormat menghormati,” titah baginda.
Baginda turut menyeru semua kaum, bangsa dan agama di negara ini supaya saling menghormati sensitiviti antara satu sama lain bagi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat.
Sultan Sharafuddin turut mengambil contoh sejarah kegemilangan tamadun Islam ketika era Kerajaan Uthmaniyyah yang menyaksikan masyarakat berbilang bangsa hidup dalam keadaan harmoni.
Dalam titah sama, Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan agar jemaah haji Malaysia dipermudahkan urusan ibadah, dikurniakan kesihatan baik serta pulang dengan haji yang mabrur.
“Selamat Hari Raya Aidiladha,” ucap Baginda.








