Selangor gerakkan jelajah pickleball ke 50 sekolah, gilap bakat baharu

15 Mei 2026, 6:55 AM
Selangor gerakkan jelajah pickleball ke 50 sekolah, gilap bakat baharu
Selangor gerakkan jelajah pickleball ke 50 sekolah, gilap bakat baharu
Selangor gerakkan jelajah pickleball ke 50 sekolah, gilap bakat baharu

SHAH ALAM, 15 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan siri jelajah pembangunan sukan pickleball ke 50 sekolah seluruh Selangor dalam usaha memperkenalkan sukan itu kepada pelajar serta mencungkil bakat baharu.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata program selama 12 bulan itu menyasarkan kira-kira 500 pelajar dan 100 guru untuk mengikuti kursus asas serta latihan khas sebagai persediaan membentuk ekosistem pembangunan sukan berkenaan di peringkat sekolah.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar, malah membantu sekolah membangunkan latihan yang lebih tersusun termasuk melatih guru sebagai jurulatih pickleball.

“Kalau kita lihat di sekolah, ada latihan untuk bawah Majlis Sukan-Sukan Malaysia, tapi pickleball tak termasuk sekali. Jadi di peringkat Selangor, kita mulakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

“Kita akan turun ke sekolah dan beri pendedahan sukan ini. Pada masa sama beri ruang kepada guru sebagai jurulatih. Ini boleh membentuk pasukan sekolah dan negeri boleh anjurkan program kejohanan,” katanya.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi turut mencuba sukan pickleball selepas merasmikan Program Pembangunan Sukan Pickleball Selangor (PICKLESPARK) di Pickleball Playground, Shah Alam pada 15 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Sukan Pickleball Selangor (PICKLESPARK) 2026/2027 di sini hari ini.

Menurut beliau, pembangunan sukan itu mampu memberi impak besar memandangkan pickleball kini semakin popular dan mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat.

“Pickleball ini melibatkan hampir setiap lapisan masyarakat. Bukan sahaja generasi muda, yang tinggal kawasan bandar sebaliknya golongan berusia serta komuniti luar bandar turut bermain sukan ini.

“Sukan ini semakin mendapat tempat dalam masyarakat. Rugi jika Kerajaan Negeri tidak menyokong ekosistemnya. Dengan penubuhan PICKLESPARK ini, Selangor menjadi negeri pertama membangunkan sukan jenis ini,” katanya.

Jurulatih memberi tunjuk ajar asas sukan pickleball kepada pelajar ketika majlis pelancaran Program Pembangunan Sukan PickleballSelangor (PICKLESPARK) di Pickleball Playground, Shah Alam pada 15 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sehubungan itu, beliau menggesa persatuan pickleball di peringkat negeri dan kebangsaan mempergiat usaha menganjurkan lebih banyak kejohanan supaya sukan itu berpotensi dipertandingkan dalam temasya berprestij termasuk Sukan Malaysia (SUKMA).

“Bila ramai terlibat, sukan ini boleh diketengahkan seperti sukan-sukan lain. Yang penting persatuan pickleball peringkat negeri dan kebangsaan perlu bertindak atau ambil langkah agresif untuk mempromosikan sukan ini.

“Kena banyakkan dan luaskan penganjuran kejohanan. Lepas itu kita boleh lihat serta nilai sekiranya pickleball ini boleh menjadi sukan berprestij tinggi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.