SHAH ALAM, 21 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang meneliti kemungkinan pelaksanaan sekolah dua sesi bagi menampung pertambahan murid tahun satu di sekolah agama bermula Januari tahun depan.
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah itu antara persediaan dibuat susulan kemasukan 8,273 murid baharu berusia enam tahun ke sekolah agama di Selangor.
Menurutnya, penelitian sedang dilakukan termasuk dari segi penyediaan infrastruktur dan penggunaan bangunan sekolah sedia ada bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.
“Sekarang ini satu penelitian sedang dibuat untuk kita sediakan infrastruktur sewajarnya dari segi bangunan sekolah. Dipertimbangkan juga kemungkinan kita melihat kepada dua sesi kerana ada sekolah yang guna pagi sahaja, petang tidak digunakan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 2026 sempena Hari Guru Kebangsaan di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Menurutnya, persediaan turut melibatkan keperluan guru, kelengkapan sekolah serta buku teks selain penelitian terhadap keperluan penambahan tenaga pengajar mengikut kesesuaian.
“Kita wajib bersedia sebelum Januari untuk kita laksanakan program tersebut dengan baik pada Januari 2027,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata JAIS juga bersedia berkongsi kepakaran pendidikan Islam dengan Kemboja susulan lawatan delegasi negara itu yang mahu meninjau pengurusan pendidikan Islam di Selangor.
Katanya, struktur pendidikan Islam di Kemboja sedikit berbeza memandangkan komuniti Islam di negara itu merupakan golongan minoriti, justeru Selangor turut mencadangkan negara itu melihat model seperti di Singapura yang mempunyai komposisi agama hampir sama.
Selain itu, beliau menyarankan Kemboja mengambil pendekatan pendidikan yang menekankan keseimbangan sahsiah dan penguasaan ilmu seperti sains, matematik serta bidang teknikal seperti di Selangor.










