JAIS sambut Hari Guru 21 Mei secara sederhana

12 Mei 2026, 2:54 AM
JAIS sambut Hari Guru 21 Mei secara sederhana

SHAH ALAM, 12 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil pendekatan berbeza tahun ini apabila memutuskan sambutan Hari Guru di semua sekolah bawah pentadbirannya tidak lagi diadakan di peringkat sekolah dan daerah, sebaliknya disatukan dalam Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor pada 21 Mei depan.

Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu dibuat menerusi surat edaran bertarikh 7 Mei kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah seluruh Selangor bagi menyelaras pelaksanaan sambutan berkenaan.

Menurut JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri tetap menghargai sumbangan besar warga pendidik yang berkhidmat di bawah jabatan itu dalam membentuk pelajar berilmu dan berakhlak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Sebagai pengiktirafan besar kepada para guru, majlis menghargai dan mengenang jasa para guru sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada 21 Mei 2026 akan datang," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata sambutan peringkat negeri itu turut menjadi platform pengiktirafan kepada guru cemerlang dan sekolah terbaik melalui pelbagai kategori, dengan peruntukan melebihi RM200,000 daripada MAIS dan Kerajaan Negeri.

“Penghargaan akan diberikan kepada tokoh guru dan sekolah cemerlang dalam bentuk tunai atau geran,” katanya.

Dalam pada itu, JAIS menjelaskan keputusan tidak mengadakan sambutan di peringkat sekolah dan daerah dibuat sebagai langkah penjimatan serta selaras dengan saranan kerajaan supaya perbelanjaan dibuat secara berhemah mengikut keperluan semasa.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menitahkan agar rakyat jelata melakukan perbelanjaan mengikut keperluan dan keutamaan, berhemah serta bijaksana.

"JAIS juga membuat keputusan ini berikutan wujudnya kesan kepada ibu bapa atau penjaga yang menjadi tradisi menyediakan hadiah-hadiah tertentu kepada guru atas permintaan anak-anak.

"JAIS melihat perkara ini perlu dihentikan dalam keadaan sekarang kerana ia memberi kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga," menurut kenyataan sama.

Tambah JAIS, pelaksanaan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah akan dipertimbangkan semula pada masa akan datang, termasuk penambahbaikan format agar lebih ringkas dan tidak mengganggu proses pembelajaran.

"Beberapa perkara dalam pelaksanaan Sambutan Hari Guru juga akan dinilai semula atau dengan beberapa pengubahsuaian yang perlu melibatkan masa sambutan yang tidak mengganggu jadual dan proses pembelajaran dalam kelas, serta tentatif yang ringkas dan selaras untuk diguna pakai oleh semua sekolah di bawah seliaan JAIS," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.