SHAH ALAM, 20 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga jam 5 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan kawasan terlibat di Kedah ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling.
Amaran sama turut melibatkan Perlis serta beberapa kawasan di Johor iaitu Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Di Sarawak, kawasan terjejas melibatkan Sri Aman, Sibu (Selangau), Mukah (Mukah), Kapit (Song, Kapit dan Belaga), Bintulu (Tatau), Miri (Telang Usan dan Marudi) serta Limbang.
Sementara di Sabah pula, cuaca buruk dijangka berlaku di Pedalaman melibatkan Tambunan, Pantai Barat, Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan) serta Kudat termasuk Kota Marudu.
"Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berlaku melebihi tempoh sejam.
"Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.







