SHAH ALAM, 14 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang sehingga jam 9 pagi ini.
MetMalaysia memaklumkan cuaca buruk sama turut dijangka melanda beberapa negeri lain termasuk Kedah (Langkawi, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan seluruh Pulau Pinang.
Amaran itu turut membabitkan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak) dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu).
Keadaan sama juga diramal melanda Negeri Sembilan (Port Dickson dan Rembau), seluruh Melaka, Johor (Batu Pahat) dan Sabah (Tawau) dan Kudat (Kudat).
Menurut jabatan itu, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia serta media sosial agensi berkenaan.







