Tindakan hina sahabat Rasulullah menyalahi adab, jejas akidah

18 Mei 2026, 12:40 PM
Tindakan hina sahabat Rasulullah menyalahi adab, jejas akidah

SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan tindakan menghina sahabat Rasulullah SAW adalah menyalahi adab sekali gus menjejaskan akidah.

Pengerusinya Dato’ Setia Salehuddin Saidin berkata MAIS menyokong kenyataan Jabatan Mufti Selangor berhubung kewajipan memuliakan sahabat Rasulullah serta larangan menghina dan merendahkan martabat mereka.

“Sebagai pihak berkuasa utama berkaitan agama Islam di Selangor, MAIS memandang serius sebarang tindakan yang boleh mencemarkan kemuliaan para sahabat Rasulullah.

“Tindakan mengeluarkan kenyataaan yang sedemikian hanya menimbulkan pertikaian dan perpecahan di kalangan umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, menjaga lisan dan penulisan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam umat Islam.

“Justeru, MAIS menyeru umat Islam bersatu padu dan tidak bertelingkah dengan isu dan perkara cabang dalam agama Islam.

“Sehingga boleh menjejaskan keharmonian dan penyatuan dalam kalangan umat Islam khususnya di negeri ini,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghina dan mempersendakan kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad.

Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi dilaporkan telah memohon maaf dan mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan mengenai para sahabat Rasulullah.

//

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.