Gagal daftar pengislaman boleh cetus isu tuntutan harta, status mualaf

9 Mei 2026, 10:00 AM
Gagal daftar pengislaman boleh cetus isu tuntutan harta, status mualaf
Gagal daftar pengislaman boleh cetus isu tuntutan harta, status mualaf
Gagal daftar pengislaman boleh cetus isu tuntutan harta, status mualaf

SHAH ALAM, 9 MEI: Kegagalan mendaftarkan pengislaman dalam kalangan mualaf boleh mengundang pelbagai implikasi serius, termasuk pertikaian harta, status perkahwinan serta pengurusan jenazah.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Salehuddin Saidin berkata masih terdapat mualaf yang enggan membuat pendaftaran kerana bimbang diketahui keluarga yang tidak bersetuju, selain kurang memahami kepentingan proses tersebut.

Menurutnya, pendaftaran pengislaman amat penting bagi memastikan hak individu terpelihara termasuk dalam aspek bantuan, perkahwinan dan nasab.

“Kalau mereka tak daftar, isu kematian satu hal, isu apabila melibatkan tuntutan harta benda daripada keluarga, kemudian apabila mereka nak menuntut hak mereka.

“Segala bantuan yang mereka layak, kemudian perkahwinan, nasab mereka nanti akan dipersoalkan apabila mereka tak daftar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhuwah Pusat Pengurusan Pengislaman 2026 di Dewan Orkid Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini, hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato' Salehuddin Saidin bercakap kepada media selepas Majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhwah PPP MAIS 2026 di Wisma PKPS, Shah Alam pada 9 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Jelas beliau, kegagalan berbuat demikian turut menimbulkan masalah berkaitan hak pengebumian di tanah perkuburan Islam serta dokumentasi rasmi.

Katanya, terdapat kes pertikaian di mahkamah apabila keluarga menafikan seseorang itu beragama Islam selepas kematian kerana tiada rekod pengislaman.

“Bila mereka dah meninggal barulah timbul persoalan. Ada yang mengatakan dia sering datang ke masjid, dia ini orang Islam, keluarganya menafikan.

"Ini antara perkara yang kita tak mahu berlaku. Itu sebab kita galakkan mereka yang memeluk Islam membuat pendaftaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salehuddin berkata titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung isu pencemaran bukan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan, sebaliknya mencerminkan peranan semak dan imbang dalam sistem Raja Berperlembagaan.

Katanya, institusi raja memainkan peranan penting dalam menasihati kerajaan demi menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.