SHAH ALAM, 9 MEI: Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) disifatkan sebagai barisan hadapan dakwah yang memainkan peranan penting dalam melindungi kebajikan mualaf di Selangor.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Dato' Setia Salehuddin Saidin berkata pusat berkenaan bukan sekadar mengurus pendaftaran pengislaman, malah membimbing saudara baharu memahami ajaran Islam sebenar.
“Pencapaian ini jelas membuktikan Pusat Pengurusan Pengislaman memainkan peranan yang amat besar dalam memperluaskan usaha dakwah serta memudahcara proses pengislaman secara tersusun dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhuwah Pusat Pengurusan Pengislaman 2026 di Dewan Orkid Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini, hari ini.
Menurut beliau sebanyak 1,675 mualaf direkodkan di Selangor pada tahun lalu dengan 772 pengislaman diuruskan PPP membabitkan masjid dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK).
Menurutnya, setiap proses pengislaman perlu dilaksanakan secara sah, tersusun, berintegriti dan mematuhi enakmen bagi memastikan kebajikan mualaf terus terpelihara.
Beliau berkata pendaftaran pengislaman yang sempurna membolehkan mualaf memperoleh akses bantuan, pendidikan, perlindungan kebajikan dan pembangunan akidah secara berterusan.
“Selepas dia diislamkan, kita juga perlu memastikan bahawa proses pembelajaran, proses bimbingan dia sebagai seorang Islam diatur dengan baik supaya mereka dapat ilmu pengajaran Islam yang sebenarnya,” katanya.
Salehuddin turut mengakui ada individu memeluk Islam kerana pelbagai faktor termasuk perkahwinan, bantuan dan hidayah, namun perkara lebih penting ialah memastikan golongan terbabit terus dibimbing supaya tidak kembali kepada agama asal.








