Kerajaan Selangor ambil alih pengurusan PPR Lembah Subang 1, tingkat kesejahteraan penghuni

18 Mei 2026, 8:24 AM
Kerajaan Selangor ambil alih pengurusan PPR Lembah Subang 1, tingkat kesejahteraan  penghuni
Kerajaan Selangor ambil alih pengurusan PPR Lembah Subang 1, tingkat kesejahteraan  penghuni

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerajaan Selangor mengambil alih pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata MoU itu bagi memastikan pengurusan lebih sistematik dan efisien demi manfaat lebih 12,000 penduduk di 3,004 unit PPR membabitkan lapan blok.

Menurutnya, PPR berkenaan berdepan pelbagai cabaran termasuk pengurusan sisa pepejal, kesesakan lalu lintas, kekurangan parkir dan isu penyelenggaraan susulan kepadatan penduduk yang tinggi.

Bagaimanapun, katanya Kerajaan Negeri komited meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan komuniti setempat.

“Majlis hari ini bukan sekadar acara rasmi pentadbiran, tetapi mencerminkan komitmen berterusan kerajaan persekutuan dan negeri untuk memastikan pengurusan PPR terus cemerlang demi kebajikan penduduk,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU pemindahan pengurusan PPR daripada KPKT kepada kerajaan Selangor.

Beliau berkata isu seperti pengurusan sampah dan keadaan kejiranan memerlukan perhatian jangka panjang, selain pendekatan lebih efisien dan responsif susulan peningkatan populasi serta harapan penduduk.

Sementara itu, EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata pengambilalihan itu menandakan fasa baharu dalam usaha penambahbaikan PPR berkenaan.

Katanya, kerja awal sudah dimulakan termasuk pengurusan sisa, penyelenggaraan lif, kerja mengecat semula dan naik taraf sistem perparitan.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut menangani isu penyewaan kepada pihak ketiga apabila terdapat unit didiami individu selain penyewa berdaftar.

“Penyewa akan dipanggil untuk dikenal pasti. Jika mereka layak, kita boleh pertimbangkan tawaran kepada mereka berbanding unit disewakan kepada pihak lain,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Persekutuan menerusi KPKT turut menyalurkan dana sokongan bagi kerja penyelenggaraan serta peruntukan tambahan untuk usaha naik taraf.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif itu bagi memperkukuh pengurusan perumahan bersepadu antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Katanya, kerjasama itu mencerminkan usaha menyeluruh untuk menambah baik sistem penyampaian perumahan awam serta memastikan kelestarian pembangunan berkepadatan tinggi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.