Kualiti selenggara PPR Lembah Subang 1 ditambah baik, Selangor pertimbang kenaikan sewa

18 Mei 2026, 5:13 AM
Kualiti selenggara PPR Lembah Subang 1 ditambah baik, Selangor pertimbang kenaikan sewa
Kualiti selenggara PPR Lembah Subang 1 ditambah baik, Selangor pertimbang kenaikan sewa

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerajaan Negeri akan meningkatkan mutu penyampaian pengurusan bagi memastikan kesinambungan penyelenggaraan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Subang 1 di Petaling Jaya sebelum sebarang keputusan menaikkan sewa bulanan dibuat.

Bagaimanapun, EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah menjelaskan yang keputusan untuk menaikkan sewa unit PPR hanya akan dibuat selepas program libat urus bersama penduduk diadakan.

“Dalam hujung tahun ini kita akan buat rewang komuniti. Bersama dengan penduduk di mana kita nak berdialog, beramah mesra dengan penduduk supaya mereka tahu bila kita ambil alih ini kita akan bagi servis yang terbaik dan mereka kena pastikan tidak ada tunggakan untuk pembayaran.

“Kalau ada tunggakan, menyebabkan kita tak boleh nak membuat atau selenggara yang lebih baik untuk penduduk di situ,” katanya hari ini selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Penyerahan dan Pengambilalihan Pengurusan PPR Lembah Subang 1 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. M Noor Azman Taib (kanan) Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penyerahan dan Pengambilalihan Pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Mei 2026. Turut sama EXCO Perumahan, Dato' Borhan Aman Shah dan EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Fahmi Ngah. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga telah memulakan kerja penyelenggaraan, beliau turut mengakui kutipan sewa sedia ada tidak mencukupi untuk menampung semua kos berkenaan.

“Dan nampaknya sekarang ini PHSSB (Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd) dah uruskan dari segi pengangkutan sampah, mengecat semula, selenggara lif dan sebagainya.

“Dan kita bercadang (semakan semula sewa) kerana daripada sewaan yang ada hanya RM124, dan tidak mencukupi untuk nak selenggara dan sebagainya.

“Sekarang ini kerajaan negeri terpaksa tambah dan hari ini kita dapat peruntukan daripada KPKT sebanyak RM2.3 juta untuk setahun,” katanya.

Borhan turut mendedahkan isu sewa semula (sublet) dikenal pasti berlaku apabila unit PPR disewakan kepada pihak ketiga dan tidak diduduki penyewa asal.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan akan berusaha mengesahkan identiti penyewa pihak ketiga bagi memastikan manfaat perumahan kos rendah diterima oleh mereka yang layak.

“Kita dapati tak sampai 20 hingga 30 peratus (sublet) tapi kes itu tetap ada dan nampaknya sekarang kita panggil. Kita panggil, bukan yang bagi kepada orang lain (penyewa asal), kita panggil penyewa (sublet) itu sendiri.

“Untuk kita kenal pasti. Dan kalau mereka ada hak, kenapa tidak kita tawarkan kepada mereka (penyewa sublet)?,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau persekitaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 dalam lawatan pada 13 Februari 2025. Foto Facebook BERNAMA

Jelasnya lagi, Selangor turut merekodkan 60 peratus kutipan sewa sejak April lalu, ia berlaku sejak pengurusan PPR diambil alih kerajaan negeri.

Untuk rekod, PPR Lembah Subang mempunyai 3,004 unit yang diduduki hampir 12,000 penghuni.

Tambahnya, pertemuan dengan penduduk juga akan kerap dilakukan bagi mendidik mereka tentang kepentingan kutipan sewa untuk menambah baik pengurusan dan penyelenggaraan.

“Mereka (penduduk) pun dah maklum bahawa sekarang ini PHSSB dah mengambil alih pengurusan. Jadi nampaknya kita dah dapat kutipan sebanyak 60 peratus dalam masa terdekat ini. Jadi insya-Allah kita akan jumpa (penduduk) lagi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.