22 papan tanda iklan haram di Kota Kemuning diturunkan

17 Mei 2026, 10:00 AM
22 papan tanda iklan haram di Kota Kemuning diturunkan

SHAH ALAM, 17 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenal pasti 42 papan tanda iklan tanpa lesen di sekitar Kota Kemuning, dengan 22 daripadanya diturunkan dan disita untuk tindakan lanjut.

Operasi Bersepadu Penurunan Papan Tanda Iklan Tanpa Lesen atau Permit itu dijalankan semalam bermula jam 9.30 pagi hingga 4 petang bagi memastikan pematuhan terhadap Undang-Undang Kecil Iklan MBSA 2007.

MBSA memaklumkan operasi melibatkan tiga kumpulan itu dijalankan di beberapa lokasi sekitar Persiaran Anggerik Mokara serta kawasan Bulatan Mokara dan Aranda.

Menurutnya, baki papan tanda yang tidak diturunkan akan dikenakan tindakan susulan termasuk caj dan sitaan.

“Majoriti kesalahan melibatkan pemasangan papan tanda di rizab jalan tanpa kebenaran serta tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan MBSA 2007.

"Semua barangan sitaan dibawa ke Depoh Simpanan Seksyen 31/60 untuk tindakan lanjut selain pemilik papan tanda turut dikenakan caj sitaan dan kos operasi," katanya dalam kenyataan.

Operasi itu diketuai Penolong Pengarah Kanan MBSA Zakaria Mat Piah dengan kerjasama beberapa jabatan MBSA termasuk Jabatan Pelesenan, Penguatkuasaan dan Kejuruteraan serta Pejabat Cawangan Kota Kemuning.

Turut hadir Ahli Majlis MBSA merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 11 Muhammad Nabil Norhalim dan Pengerusi MPP Zon 12 Jacky Ng Chee Eng.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.