MBSA rangka pelan pelancongan lima tahun, tarik lebih ramai pelawat

6 Mei 2026, 4:40 AM
MBSA rangka pelan pelancongan lima tahun, tarik lebih ramai pelawat

SHAH ALAM, 6 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang merangka pelan tindakan pelancongan komprehensif di bawah Pelan Tindakan Pelancongan Shah Alam 2026-2030 bagi menggalakkan pelawat bermalam lebih lama serta merancakkan ekonomi tempatan.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Zabidah Safar berkata antara jurang utama yang dikenal pasti dalam pembangunan pelan lima tahun itu ialah ketiadaan pakej pelancongan tersusun walaupun bandar ini mempunyai pelbagai tarikan.

“Kita tidak mempunyai pakej pelancongan khusus. Ada kalanya pelawat menginap di Shah Alam tetapi pergi ke Kuala Lumpur atau Subang untuk berbelanja,” katanya seperti dilapor The Star.

Menurut beliau, MBSA menyasarkan untuk menggalakkan pelawat tinggal sekurang-kurangnya satu hingga dua malam di Shah Alam bagi menyokong perniagaan tempatan.

“Ini akan membolehkan kitaran ekonomi berlaku dalam kawasan MBSA dan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan,” katanya.

Bagi tujuan itu, MBSA akan bekerjasama dengan agensi seperti Tourism Selangor dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), selain pengendali tarikan utama termasuk Taman Botani Negara, i-City serta penyedia rekreasi di sekitar Taman Tasik Shah Alam.

Tambah beliau, penyelarasan akan diterajui oleh Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA dengan fokus meningkatkan penawaran pelancongan serta memperkemas pakej produk sedia ada.

Sementara itu, Zabidah turut memaklumkan kewujudan portal pelancongan yang memaparkan lokasi tular dan tempat makan popular di bandar ini.

“Kita mempunyai portal pelancongan di mana pelawat boleh melihat lokasi menarik di Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata platform itu berfungsi sebagai pusat sehenti maklumat pelancongan dan berpotensi dikembangkan kepada aplikasi mudah alih pada masa hadapan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.