Gerobok rezeki bantu golongan memerlukan, galak budaya kongsi rezeki

9 Mei 2026, 6:18 AM
Gerobok rezeki bantu golongan memerlukan, galak budaya kongsi rezeki

SHAH ALAM, 9 MEI: Program Gerobok Rezeki anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bukan sekadar menyediakan bantuan keperluan harian secara percuma kepada komuniti, malah menjadi medium menggalakkan masyarakat melakukan amal kebajikan bersama.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad berkata inisiatif itu diwujudkan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup penduduk khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40).

Menurutnya, lokasi Gerobok Rezeki dipilih berdasarkan kawasan yang mempunyai ramai penduduk memerlukan terutama di penempatan berstrata.

Katanya, pemilihan lokasi turut mengambil kira pandangan Ahli Majlis MBSA di zon berkaitan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih berkesan kepada komuniti setempat.

“Gerobok Rezeki ini kita letakkan di surau atau masjid berhampiran kawasan perumahan padat dan golongan B40 supaya lebih mudah diakses komuniti setempat.

“Surau Al-Mustaqimah (Seksyen 7, Shah Alam) merupakan lokasi pertama bagi tahun ini dan MBSA bercadang memilih beberapa lagi lokasi dengan kerjasama Ahli Majlis MBSA,” katanya kepada Media Selangor.

Tambah Shahrin, semua barangan makanan yang disediakan dibeli menggunakan peruntukan MBSA dengan jumlah peruntukan awal RM5,000 bagi pelaksanaan kali pertama program itu.

Katanya, MBSA turut menyediakan ruang di Gerobok Rezeki bagi membolehkan individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai menyumbang barangan keperluan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan memberi bantuan barang makanan kepada penduduk, tetapi juga membuka peluang kepada masyarakat untuk melakukan amal kebajikan dan berkongsi rezeki,” katanya.

Dalam pada itu, MBSA turut melaksanakan beberapa inisiatif lain untuk membantu komuniti termasuk program Jom Makan Percuma, pemberian minyak motosikal percuma dan bantuan alatan sokongan.

Sebelum ini, program Gerobok Rezeki telah dilaksanakan di tiga lokasi bermula 2024 iaitu di Masjid Taman Subang Perdana, Masjid Nurul Amen dan Kolej Kediaman Jasmine Universiti Teknologi Mara (UiTM).

MBSA berkata pihaknya akan terus komited membantu komuniti menerusi pelbagai program kebajikan demi memastikan kesejahteraan penduduk dalam kawasan pentadbirannya terus terpelihara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.