KAJANG, 14 MEI: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan berjumlah RM45,000 kepada 45 mangsa ribut dan kebakaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang hari ini.
Ketuanya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu melibatkan sumbangan tunai RM3,000 kepada mangsa kebakaran manakala mangsa ribut menerima RM1,000 setiap seorang.
“Sumbangan ini memang biasa dilaksanakan untuk membantu mangsa-mangsa bencana. Di Kajang memang sering berlaku ribut dan wakil rakyat (Kajang) David Cheong sentiasa memaklumkan perkara itu kepada Yayasan MBI.
“Hari ini, keseluruhan sumbangan bernilai RM45,000 kepada mangsa ribut dan kebakaran. Setiap tahun kita peruntuk RM1 juta untuk kebakaran, banjir... kebocoran paip gas seperti sebelum ini. Semua kita santuni,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bantuan di Dewan Sungai Kantan di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun berlaku sedikit kelewatan kerana kejadian bencana berlaku tahun lalu, Yayasan MBI tetap menyalurkan bantuan demi menjaga kebajikan rakyat.
“Setakat hari ini, sebanyak RM400,000 telah disalurkan kepada mangsa dan kita percaya ia mencukupi kecuali apabila berlaku banyak bencana seperti kebocoran paip gas atau kebakaran yang melibatkan ramai mangsa.
“Tahun lepas agak tidak mencukupi tetapi kita tetap bantu. Sekiranya tidak mencukupi, akan dibawa ke tahun hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, David menzahirkan penghargaan kepada Yayasan MBI atas bantuan disalurkan bagi meringankan beban penduduk terjejas di kawasan DUN berkenaan.
“Kita sentiasa bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mendapatkan maklumat.
“Penduduk yang terkesan dengan bencana hanya perlu mengisi borang dan menghantarnya ke pejabat untuk mendapatkan bantuan,” katanya.









