MBDK pastikan projek tebatan banjir Taman Teluk Pulai siap ikut piawaian

14 Mei 2026, 7:13 AM
MBDK pastikan projek tebatan banjir Taman Teluk Pulai siap ikut piawaian
MBDK pastikan projek tebatan banjir Taman Teluk Pulai siap ikut piawaian

SHAH ALAM, 14 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) komited memastikan projek tebatan banjir di Taman Teluk Pulai disiapkan mengikut piawaian bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan berkenaan.

Pengarah Komunikasi Korporat MBDK Norfiza Mahfiz berkata tindakan segera sedang diambil susulan kelewatan projek yang terbengkalai sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap struktur binaan di lokasi terbabit.

Katanya, MBDK kini dalam proses akhir menamatkan kontrak kontraktor sedia ada kerana kegagalan mencapai kemajuan kerja yang ditetapkan.

“Kemajuan sebenar projek ketika ini hanya sekitar lapan peratus berbanding sasaran asal sebanyak 47 peratus.

“Surat amaran kedua telah diserahkan dan kes akan dibawa ke Mesyuarat Panel Penyelarasan Kontrak bagi tujuan rasmi penamatan kontrak,” katanya kepada Media Selangor.

Norfiza berkata langkah itu membolehkan kontraktor penyiap baharu dilantik segera supaya pelaksanaan projek dapat diteruskan tanpa menjejaskan objektif asal projek.

“Penduduk juga diminta bersabar sepanjang proses peralihan kontraktor ini dijalankan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata unit teknikal berkaitan turut diarahkan memantau tapak projek bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.

“MBDK memandang serius aduan penduduk mengenai struktur binaan yang menghalang laluan dan tindakan susulan sedang dilaksanakan.

“Sebarang halangan di kawasan berkenaan akan dialihkan atau disusun semula sementara menunggu proses pelantikan kontraktor baharu selesai,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.