SHAH ALAM, 7 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengadakan Sambutan Hari Ibu 2026 bagi menghargai jasa dan pengorbanan golongan itu dalam membina keluarga serta melahirkan generasi masa depan.
Program yang berlangsung di Dewan Hamzah MBDK baru-baru ini disempurnakan Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain bersama isteri, Datin Jamaliah Ab Aziz dan turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei.
Abd Hamid dalam ucapannya berkata sambutan berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah untuk merenung kembali jasa ibu yang membentuk sahsiah generasi masa depan.
"Pengorbanan seorang ibu tidak ternilai harganya, bermula dari saat mengandung sehinggalah membesarkan anak-anak tanpa mengharapkan balasan.
“Malah, disebalik kekuatan sesebuah keluarga, pasti ada ketabahan seorang ibu yang cekal menghadapi cabaran," katanya menerusi kenyataan kepada Media Selangor.
Antara pengisian majlis tersebut ialah program perkongsian ilmu menerusi forum khas yang menampilkan panel jemputan termasuk bekas duta, Datuk Lim Juay Jin; Pengerusi Puspanita Selangor, Datin Sharmila Yahya serta Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Rowena John.
Dalam pada itu, Abd Hamid turut menyeru masyarakat khususnya golongan muda agar sentiasa menghargai dan menjaga kebajikan ibu bapa masing-masing terutama yang sudah mencapai usia warga emas.
"Jadikanlah setiap hari sebagai Hari Ibu dengan menghormati dan membahagiakan mereka selagi hayat dikandung badan. Pengorbanan mereka tidak dapat dibalas meskipun dengan segunung emas,” katanya.
Sambutan Hari Ibu itu turut mendapat kerjasama beberapa Ahli Majlis MBDK termasuk Ngian Yoke Mooi, Gan Eu Eng dan Kim Kok Thai.
Selain itu, turut diadakan Taklimat dan Dialog Mediator Komuniti oleh Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Klang serta Jaksa Pendamai Daerah Klang.







