KUALA LUMPUR 7 MEI: Polis menahan dua lelaki warga India dan merampas pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai bernilai RM474,414.87 dalam serbuan Ops Taring Alpha 2 di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang, semalam.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata suspek berumur 25 dan 33 tahun itu didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri, serta dokumen penjualan minuman keras berkenaan ketika serbuan.
"Operasi yang dilaksanakan berjaya memutuskan aktiviti rangkaian penyimpanan dan pengedaran arak tidak bercukai kastam di kawasan Klang dan sekitarnya," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini
Mohd Zaki berkata hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 354 crate dan 142 kotak berisi 4,893 liter minuman keras jenis bir daripada pelbagai jenama, selain turut merampas 25 kotak mengandungi 238.55 liter minuman keras jenis liquor pelbagai jenama.
Operasi yang dibantu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) itu turut merampas sebuah lori berserta segugus anak kunci dan wang tunai berjumlah RM3,011.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1957 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.








