SYDNEY, 9 MEI: Pentadbiran negeri berhasrat memperkukuh hubungan dengan institusi pendidikan dan penyelidikan Australia melalui pelbagai program berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata, kerjasama itu melibatkan bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, keselamatan siber dan sains data.
Aspek lain katanya, penyelidikan kesihatan dan inovasi digital agar Selangor terus muncul sebagai negeri yang bersedia mendepani cabaran ekonomi global abad ke-21.
“Kerjasama dalam bidang ini mampu buka lebih banyak peluang pertukaran akademik, mobiliti mahasiswa, pembangunan penyelidikan serta pemindahan kepakaran antara institusi di Selangor dan Australia.
“Saya percaya, kekuatan sesebuah negeri pada masa depan tidak lagi diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, tetapi keupayaan bina ekosistem ilmu, inovasi dan jaringan antarabangsa,” katanya.
Beliau berucap pada majlis makan malam bersama diaspora Selangor di Australia di Crown Plaza Sydney Darling Harbour, di sini, malam tadi sempena Konvensyen Mahasiswa Selangor Luar Negara (KOMSEL) Luar Negara 2026.
Tambah Saipolyazan, kerjasama itu sepertimana dilaksana dengan Jerman, China dan Amerika Syarikat bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) antarabangsa.
“(TVET antarabangsa) bersama institusi dan industri utama dunia seperti Apple, Siemens, Google, KNX Mendix dan institusi pendidikan seperti Tsinghua University China dan UC Berkeley USA,” katanya.









