Mahasiswa Selangor di Australia tonjol idea kreatif, pemikiran kritis

10 Mei 2026, 1:00 AM
Mahasiswa Selangor di Australia tonjol idea kreatif, pemikiran kritis
Mahasiswa Selangor di Australia tonjol idea kreatif, pemikiran kritis
Mahasiswa Selangor di Australia tonjol idea kreatif, pemikiran kritis
Mahasiswa Selangor di Australia tonjol idea kreatif, pemikiran kritis

SYDNEY, 10 MEI: Mahasiswa Selangor di luar negara menunjukkan potensi besar apabila tampil dengan idea kreatif dan pemikiran kritis menerusi Konvensyen Mahasiswa Selangor Luar Negara Australia (KOMSEL) 2026.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah berkata konvensyen itu menjadi platform penting dalam mencungkil potensi mahasiswa selain membuka ruang kepada mereka menyuarakan pandangan secara matang dan berpandangan jauh.

“Sesi-sesi seperti seminar inovasi yang menghubungkan akademia dan industri, kepimpinan serta perbincangan melalui forum telah membuka ruang kepada wacana matang dan berpandangan jauh.

“Melalui sesi ‘Young Innovators Venture Challenge’ kita dapat lihat sendiri keberanian dan kreativiti mereka mengemukakan idea. Ini sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup KOMSEL 2026 di Park Royal Darling Harbour, malam tadi.

Turut hadir Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) Prof Emeritus Ir Dato’ Dr Hassan Basri.

Dalam majlis sama, Sharrina turut menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang Young Innovators Venture Challenge yang disertai 15 mahasiswa dari pelbagai universiti di Australia.

Sementara itu, Hassan berkata beliau tertarik dengan resolusi yang dibentangkan sepanjang konvensyen dan yakin ia mampu menjadi platform penting dalam menyuarakan aspirasi generasi muda secara matang serta inklusif.

Menurutnya, idea dan pandangan yang diketengahkan jelas menunjukkan mahasiswa mahu memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan negeri, khususnya melibatkan aspek pendidikan, inovasi, peluang pekerjaan, kesejahteraan belia dan pembangunan masyarakat.

“Kita sentiasa melihat mahasiswa sebagai rakan strategik pembangunan negeri. Justeru, hasil dapatan dan resolusi akan diterjemah kepada tindakan bersifat praktikal, inklusif dan berimpak tinggi,” katanya.

Seorang mahasiswa Selangor membentangkan idea dalam salah satu sesi sepanjang Konvensyen Mahasiswa Selangor Luar Negara Australia (KOMSEL) 2026 di Sydney.

Berlangsung sejak 7 Mei lalu, KOMSEL 2026 yang mengangkat tema ‘Inovator Muda Mencorak Masa Depan Malaysia’ melabuhkan tirainya malam tadi dengan pelbagai pengisian melibatkan 140 mahasiswa daripada 12 universiti di Australia.

Antara pengisian utama termasuk Dialog Masa Depan Selangor, Seminar Inovasi, Wacana Syarahan Kebangsaan, Young Innovators Venture Challenge serta sesi perkongsian bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Konvensyen edisi kelima itu menjadi platform intelektual kepada pelajar luar negara untuk berkongsi idea, memperkasa peranan sebagai ejen perubahan selain menyemai budaya inovasi, keusahawanan dan pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.