Lebih 158,000 murid di Selangor terima manfaat modul PTRS, PDK

8 Mei 2026, 1:42 PM
Lebih 158,000 murid di Selangor terima manfaat modul PTRS, PDK
Lebih 158,000 murid di Selangor terima manfaat modul PTRS, PDK

SHAH ALAM, 8 MEI: Usaha memperkukuh sinergi pendidikan di Selangor terus diperkasa menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 di bawah Teras Strategik 5 bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) berkata inisiatif itu menjadi landasan penting dalam memperkukuh kerjasama pendidikan melalui sokongan strategik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Yayasan Menteri Besar Selangor (Yayasan MBI).

Menurut JPN Selangor, pengagihan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Modul Program Didik Kasih (PDK) Tahun 2026 telah berjaya dilaksanakan secara berfasa di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini bermula 15 hingga 24 April lalu.

“Modul PTRS memberi manfaat kepada 257 sekolah menengah harian, sembilan sekolah berasrama penuh dan tiga kolej vokasional melibatkan 141,010 murid termasuk 69,860 murid Tingkatan 5 dan 71,150 murid Tingkatan 4.

“Bagi Modul Program Didik Kasih (PDK), sebanyak 20,000 naskhah modul telah diterima oleh 663 sekolah kebangsaan di seluruh Selangor melibatkan 17,379 murid Tahun 2 hingga Tahun 6,” katanya menerusi kenyataan.

JPN Selangor memaklumkan pelaksanaan inisiatif berkenaan melibatkan kerjasama erat antara MBI, Yayasan MBI, Sektor Pembelajaran, PPD serta sekolah-sekolah yang bertindak sebagai pusat agihan modul di setiap daerah.

Menurutnya, setiap PPD turut menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan proses pengagihan berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan supaya semua murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran berkualiti.

JPN Selangor turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Amirudin Shari, MBI dan Yayasan MBI atas sokongan berterusan dalam memperkasa agenda pendidikan negeri.

Sokongan strategik tersebut, katanya, membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menjadikan pendidikan sebagai teras pembangunan modal insan yang berilmu, berdaya saing dan cemerlang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.