Tuisyen percuma lonjak prestasi SPM

1 Mei 2026, 3:00 AM
Tuisyen percuma lonjak prestasi SPM
Tuisyen percuma lonjak prestasi SPM

SHAH ALAM, 1 MEI: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) membantu meningkatkan prestasi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan purata Gred Purata Negeri (GPN) semakin positif dari tahun ke tahun.

Menurut ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, pencapaian itu selari peningkatan bilangan pelajar yang Layak Mendapat Sijil (LMS) SPM antara 2023 hingga 2025.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata MBI menerima surat penghargaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor selama tiga tahun berturut-turut ekoran sumbangan PTRS dalam pencapaian SPM negeri.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap ketika Majlis serahan Bantuan kembali ke sekolah sesi persekolahan 2026 dan serahan bencana ribut bagi DUN Sungai Burong, Kuala Selangor pada 18 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Tahun ini kali ketiga (Yayasan MBI) menerima surat penghargaan daripada pengarah peringkat negeri yang sememangnya mengiktiraf PTRS yang banyak membantu percapaian SPM,” katanya.

Katanya, seramai 50 pelajar cemerlang yang mengikuti kelas tambahan PTRS bakal menerima insentif RM500 daripada Yayasan MBI sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka pada Mei.

Beliau juga menjelaskan keberkesanan PTRS turut menarik perhatian negeri lain antaranya Kelantan yang kini melaksanakan projek rintis di Tumpat dan Kota Bharu melibatkan 20 sekolah.

Peningkatan gred purata negeri. GRAFIK FARAH AZILA MUSTAPHA

Ahmad Azri memberitahu modul PTRS dibangunkan melalui beberapa siri bengkel berstruktur melibatkan guru pakar bagi menjamin mutu kandungan sekali gus menepati kehendak peperiksaan.

“Setiap topik dilengkapi kod QR yang memudahkan pelajar mengimbas dan menonton video pembelajaran sambil dapat nota tambahan sekali gus menjadikan pembelajaran lebih interaktif.

“Modul sangat berkualiti. Contohnya untuk modul 2026, kita menjalani proses panjang. Bermula pembuatan tahun lalu dan berakhir bulan lepas, ada empat kali bengkel untuk hasilkan modul ini.

Bilangan layak mendapat sijil. GRAFIK FARAH AZILA MUSTAPHA

“Kebanyakan soalan dalam modul, kadang-kadang keluar SPM dari segi konsep dan sebagainya. Inilah kualiti yang kita ada sebab penulis modul juga dari kalangan penggubal soalan,” katanya.

Pada 31 Mac, Pengarah JPN Selangor Datin Wan Nor Ashikin Abd Kassim ketika pengumuman keputusan SPM negeri mengiktiraf peranan PTRS dalam membantu pelajar dalam peperiksaan itu.

Sepanjang tahun 2025, lebih 160,000 pelajar tingkatan lima dan empat seluruh negeri mengikuti PTRS yang dijalankan hasil peruntukan RM10 juta.

Tahun lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata PTRS dikenal pasti antara penyumbang peningkatan bilangan pelajar yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Selain membimbing pelajar yang menduduki peperiksaan utama, PTRS juga membantu murid kelas pemulihan untuk menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) pada 2024.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.