ePTRS: Peluang soal jawab pelajaran secara langsung

2 Mei 2026, 8:00 AM
ePTRS: Peluang soal jawab pelajaran secara langsung
ePTRS: Peluang soal jawab pelajaran secara langsung

SHAH ALAM, 1 MEI: Pelantar digital Program Tuisyen Rakyat Selangor (ePTRS) ditambah baik pada tahun ini melalui pengenalan sesi komunikasi dua hala secara langsung antara guru dan pelajar.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata ia memudahkan pelajar bertanya dan mendapat penjelasan dalam masa nyata berbanding penggunaan video sebelum ini.

"Jika sebelum ini mereka hanya menonton video rakaman dan perlu mesej untuk bertanya soalan, tahun ini kita cuba sediakan slot live (siaran langsung).

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor melihat buku Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) selepas majlis penyerahan modul PTRS dan sumbangan dana pengurusan PIBG sekolah-sekolah daerah Hulu Langat di SMK Bandar Saujana Putra pada 31 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Ia membolehkan pelajar bertanya soalan dan mendapat penjelasan secara langsung. Sesi ini dijangka dilancarkan pada awal Mei,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Media Selangor.

Katanya, lebih 50,000 pelajar dari luar Selangor antaranya Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Perak mendaftar dalam ePTRS yang juga boleh dilayari dengan memuat turun aplikasinya.

Beliau menjelaskan pelantar digital berkenaan boleh diakses pada bila-bila masa di seluruh negara sekali gus ePTRS juga memberi manfaat kepada pelajar melangkaui sempadan Selangor.

“Capaian ePTRS boleh meningkat kepada 300,000 hingga 500,000 menjelang peperiksaan SPM hingga pengurusan perlu menambah kapasiti server untuk menampung penggunaan pelajar,” katanya lagi.

Fakta mengenai ePTRS. GRAFIK AZWA MALEK

Ahmad Azri mengingatkan modul PTRS termasuk video boleh dimuat turun secara percuma tanpa perlu membelinya dari mana-mana pelantar e-dagang yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak marah hendak muat turun atau cetak, asalkan jangan jual. Tidak perlu beli dari Shopee. Dia jual RM5. Kita bagi percuma saja,” katanya.

ePTRS dilancar pada 13 Ogos 2023 dengan sasaran 200,000 pelajar mendapat manfaat. Pengenalan pelantar pembelajaran digital itu antara penambahbaikan PTRS yang dibuat sejak tahun 2008.

Selain portal, ia turut tersedia dalam bentuk aplikasi dalam telefon mudah alih. Hanya taip PTRS pada carian Google Play Store dan App Store, aplikasi tersebut boleh dimuat turun.

Awalnya, PTRS diadakan secara fizikal di pusat khidmat masyarakat untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah. Apabila pandemik melanda pada 2020, pembelajaran dibuat dalam talian.

Kemudian ia berkembang menjadi portal ePTRS yang ditambah baik dengan video pembelajaran oleh guru terlatih yang menyediakan soalan mengikut sukatan mata pelajaran Kementerian Pendidikan.

Aplikasi berkenaan dibangunkan MBI dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan guru berpengalaman.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.