Dua bot tunda asing ditahan cuba seludup minyak bernilai RM19.55 juta

7 Mei 2026, 12:40 PM
Dua bot tunda asing ditahan cuba seludup minyak bernilai RM19.55 juta

SHAH ALAM, 7 MEI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup minyak bernilai RM19.55 juta susulan penahanan dua bot tunda di Tanjung Bulat, Kota Tinggi Isnin lalu.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Kama Azri Kamil berkata kedua-dua bot itu ditahan hasil risikan dan pemantauan selepas mengesan pergerakan mencurigakan di laluan strategik perairan negara.

Beliau memaklumkan, bot tunda pertama ditahan jam 10.50 malam pada kedudukan 1.5 batu nautika tenggara Tanjung Bulat, manakala sebuah lagi ditahan 40 minit kemudian di 3.0 batu nautika tenggara kawasan sama.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tunda itu berdaftar di Tanzania dan dikendalikan 10 kru warga Indonesia berusia antara 26 hingga 54 tahun.

"Siasatan awal mendapati mereka gagal melaporkan ketibaan ketika memasuki perairan negara, sekali gus melanggar Kaedah 10 Peraturan-Peraturan Pelabuhan 1954.

"Pemeriksaan lanjut menemukan muatan minyak tanpa dokumen sah, selain terdapat pengubahsuaian mencurigakan pada tangki bot iaitu penggunaan tangki air kapal yang diubahsuai sebagai tangki simpanan minyak dipercayai digunakan bagi tujuan aktiviti penyeludupan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, manakala semua kru ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/1963 bagi membantu siasatan lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.