Kastam Selangor tumpaskan cubaan seludup pelbagai barangan bernilai RM73.63 juta

21 Mei 2026, 8:49 AM
Kastam Selangor tumpaskan cubaan seludup pelbagai barangan bernilai RM73.63 juta

SHAH ALAM, 21 MEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan cubaan penyeludupan rokok, minuman keras, kenderaan serta modul pusat data pasang siap dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM73.63 juta termasuk duti dan cukai.

Pengarah Kastam Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, rampasan terbesar membabitkan 87.42 juta batang rokok putih yang ditemukan dalam 10 kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat pada 30 April lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tiada pengikraran dibuat dalam manifes bagi semua rokok terbabit yang dipercayai dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang.

“Siasatan awal mendapati kontena dari negara di benua Asia dan Eropah itu tiba di Pelabuhan Klang pada 12 April lalu.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 52 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Negeri Selangor di Pelabuhan Utara, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan rokok putih itu termasuk duti dan cukai dianggarkan bernilai RM67,313,400.

Dalam perkembangan sama, JKDM Selangor turut menahan 76 kontena jenis modul pusat data pasang siap (Prefabricated Data Center Module) di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang pada awal April lalu.

Mohamad Azhar berkata, semakan mendapati pengikraran kod tarif dibuat adalah tidak benar sehingga menyebabkan pengurangan duti dan cukai yang tinggi.

“Kontena dari sebuah negara di benua Asia itu tiba di Pelabuhan Klang pada 6 Mac lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967.

“Nilai keseluruhan bagi 76 kontena berkenaan termasuk duti dan cukai dianggarkan bernilai RM4,726,571,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pasukan JKDM menahan sebuah kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara yang mengandungi 26,400 liter minuman keras jenis bir dipercayai tidak mempunyai permit import sah.

Katanya, kontena dari sebuah negara di Asia itu tiba di Pelabuhan Klang pada 17 Januari lalu dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM940,896.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan mengimport barang larangan,” katanya.

Selain itu, JKDM Selangor turut menyita tujuh unit kenderaan import pelbagai jenama seperti Audi, Velfire dan Murano dalam pemeriksaan di gudang berlesen sekitar Pelabuhan Klang pada 21 April lalu.

Mohamad Azhar berkata, pemeriksaan mendapati semua kenderaan terbabit melebihi tempoh penyimpanan dibenarkan selain gagal menjelaskan duti dan cukai.

“Nilai keseluruhan tujuh kenderaan terbabit termasuk duti dan cukai dianggarkan RM658,707.

“Semua kenderaan itu disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.