SNCC kecam Israel tahan 21 kapal misi GSF 2.0, gesa tindakan tegas

4 Mei 2026, 3:11 PM
SNCC kecam Israel tahan 21 kapal misi GSF 2.0, gesa tindakan tegas
SNCC kecam Israel tahan 21 kapal misi GSF 2.0, gesa tindakan tegas
SNCC kecam Israel tahan 21 kapal misi GSF 2.0, gesa tindakan tegas

SEPANG, 4 MEI: Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengecam tindakan rejim Israel yang menahan 21 kapal dalam Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 secara tidak sah termasuk insiden melibatkan gangguan terhadap misi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata daripada jumlah itu, tiga kapal berjaya ditunda dalam keadaan rosak teruk, satu bot dilaporkan karam manakala 17 lagi masih berada di laut dan dalam proses ditunda.

“Tindakan tersebut jelas mencabuli undang-undang antarabangsa serta bertentangan dengan prinsip kemanusiaan kerana misi berkenaan membawa bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.

“Selain itu, SNCC turut mengecam penahanan dua aktivis yang merupakan jawatankuasa induk GSF iaitu Said Abukeshek dan Thiago Ávila yang dilaporkan ditahan lebih 96 jam di Penjara Shikma, Ashkelon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Sani Araby berkata perkembangan hari ke-22 pelayaran GSF 2.0 menyaksikan 10 aktivis Malaysia yang sebelum ini diculik selamat tiba di Istanbul, Turkiye dari Greece pada 1 Mei lalu.

Menurutnya, mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan berada dalam keadaan stabil, namun melalui pengalaman mencemaskan apabila didakwa diculik pada waktu malam serta dipukul dan dicabul oleh rejim Israel.

Sehubungan itu, Sani Araby menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama melaksanakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah bagi memohon kejayaan Misi Global Sumud Flotilla 2026 dalam usaha membebaskan Gaza dan Palestin.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan SNCC turut menyatakan sokongan terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang mengecam tindakan Israel dan mendesak agar pencabulan undang-undang antarabangsa dihentikan segera.

Misi GSF 2.0 yang memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza pada 12 April lalu bertujuan memecahkan kepungan Israel serta meningkatkan kesedaran masyarakat global terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Misi berkenaan melibatkan lebih 80 kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan tindakan maritim dengan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang dan kempen akar umbi di pelbagai negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.