Pengurangan kos SUKMA tidak jejaskan kualiti pertandingan - EXCO

30 Apr 2026, 9:00 AM
Pengurangan kos SUKMA tidak jejaskan kualiti pertandingan - EXCO

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Pengurangan kos dan kawalan perbelanjaan secara berhemah bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dijamin tidak akan menjejaskan kualiti pertandingan serta standard temasya dwitahunan itu.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, pelaksanaan SUKMA 2026 akan terus berpandukan matlamat asal selain mengambil kira nasihat serta saranan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Daripada segi pertandingan dan teknikal kita akan laksanakan mengikut standard dan piawaian yang ditetapkan. Kita tidak mahu jadikan subjek pengurangan kos ini menjadi sebab kepada kita nak jatuhkan standard penganjuran acara.

“Jadi kita nak pastikan walaupun kos dikurangkan, penganjuran acara, sukan-sukan yang kita tawarkan ini dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak Kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026 di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya pada 30 April 3026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurut Mohd Najwan, penganjuran temasya itu turut memberi penekanan kepada pembangunan atlet serta pencarian bakat baharu yang berpotensi mewakili negara ke peringkat lebih tinggi.

Tegasnya, temasya itu bukan sekadar pertandingan sukan, sebaliknya platform penting untuk melahirkan generasi atlet pelapis negara, justeru pendekatan perbelanjaan berhemah dilihat mampu memastikan usaha pembangunan bakat dapat diteruskan.

Pada 20 April lalu, Sultan Sharafuddin mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat reda dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Baginda bertitah cadangan itu dibuat berikutan kos tinggi penganjuran dalam keadaan ekonomi semasa.

Bagaimanapun, pada 26 April, KBS memaklumkan Sultan Selangor memberi perkenan agar SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah selepas mendengar taklimat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 April.

Semalam, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Mohammed Taufiq di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam bagi membincangkan persiapan temasya tersebut dengan Selangor sebagai tuan rumah.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, Baginda menzahirkan rasa sukacita terhadap perkembangan itu serta berpuas hati dengan pendekatan penjimatan yang diambil pihak penganjur.

SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, manakala Para SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.