SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Selangor akan membentangkan cadangan langkah penjimatan kos penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Rabu ini, selaras titah Baginda supaya perbelanjaan temasya diurus secara berhemah.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, sesi menghadap itu penting bagi memperincikan pendekatan penjimatan tanpa menjejaskan objektif utama penganjuran temasya berkenaan.
"Insya-Allah pada Rabu ini saya bersama Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq (Johari) akan menghadap Tuanku bagi mempersembahkan persiapan serta perancangan termasuk langkah penjimatan kos penganjuran SUKMA.
"Kita juga akan memperincikan penggunaan kos serta cadangan untuk mengecilkan perbelanjaan pengurusan SUKMA secara lebih berhemah," katanya pada sidang media di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Menurutnya, perincian lanjut mengenai cadangan itu hanya akan diumumkan selepas sesi menghadap selesai.
"Walau bagaimanapun, adalah lebih sesuai untuk kita memperincikan pelarasan tersebut selepas selesai menghadap Tuanku.
"Penganjuran SUKMA ketika ini berada dalam kerangka perbelanjaan sekitar RM100 juta, namun jumlah itu akan diperhalusi melalui langkah penjimatan serta pengoptimuman kos selaras titah Tuanku.
"Kita menjangkakan nilai keseluruhan itu dapat dikurangkan lagi tanpa menjejaskan penganjuran temasya," jelasnya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan temasya sukan itu tetap berlangsung dengan memberi fokus kepada pembangunan atlet serta penganjuran acara berkualiti.
"Fokus utama kita adalah memastikan pertandingan berjalan lancar, memberi ruang kepada atlet menonjolkan bakat serta menjadi platform mencungkil potensi baharu.
"Elemen istiadat (ceremonial) seperti majlis perasmian, pembukaan dan penutupan boleh disederhanakan tanpa menjejaskan kualiti penganjuran," katanya lagi.
Tambahnya, hasil perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA bagi mendapatkan pandangan serta konsensus negeri lain.
"Selepas sesi menghadap, kita akan membentangkan hasil perbincangan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi pada 30 April untuk dimuktamadkan.
"Buat masa ini, kita mengekalkan 37 acara sukan seperti dipersetujui sebelum ini, namun kos penganjuran akan disesuaikan," ujarnya.
Dalam pada itu, Najwan berkata, kerja menaik taraf fasiliti sukan di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) tetap diteruskan kerana memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
"Kerja naik taraf ini bukan semata-mata untuk SUKMA, tetapi untuk kegunaan berterusan oleh persatuan sukan dan komuniti.
"Setakat ini, kemajuan naik taraf kemudahan utama seperti Pusat Akuatik Shah Alam telah mencapai hampir 80 peratus dan dijangka siap bulan depan," katanya.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj memberi perkenan SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat, umum Kementerian Belia dan Sukan.
Baginda memberi perkenan selepas mendengar taklimat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis (23 April).








