SHAH ALAM, 24 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku mencadangkan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 diteruskan secara sederhana dengan langkah penjimatan kos, termasuk membatalkan majlis pembukaan dan penutup temasya itu.
Lim Yi Wei berkata pendekatan itu membolehkan temasya dwitahunan berkenaan kekal dianjurkan secara profesional, selain mengambil kira situasi ekonomi semasa.
“Dari aspek ekonomi, penganjuran SUKMA dan Para SUKMA yang berlangsung di pelbagai daerah akan memberi impak ekonomi berganda. Hotel dan pengusaha ‘homestay’, sektor makanan dan minuman (F&B) dan ‘retail’, pengeluar produk pelancong semua menunggu-nunggu ketibaan kontinjen dari seluruh negara.
“Kejohanan ini merupakan peluang keemasan untuk menjana ‘domestic consumption’, terutamanya bagi Industri Kecil & Sederhana (IKS).
“Kasihan kepada peniaga gerai makanan yang lihat stadium sudah dinaik taraf dengan cantik, tetapi tiada ‘crowd’ akibat penangguhan SUKMA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Yi Wei yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) turut menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menetapkan peruntukan tambahan bagi penganjuran temasya tersebut.
“Saya kena perbetulkan persepsi yang ditimbulkan, seolah-olah KBS mengharapkan Kerajaan Negeri sebagai tuan rumah untuk menanggung 100 peratus kos SUKMA.
“Sebenarnya, ada kelonggaran, KBS pernah meluluskan peruntukan tambahan RM152 juta bagi menaiktaraf kemudahan sukan SUKMA 2018 di Perak dan peruntukan RM50 juta untuk SUKMA 2024 di Sarawak.
“Jadi tak asing jika Jawatankuasa Tertinggi SUKMA boleh persetujui suntikan dana buat SUKMA Selangor 2026,” ujarnya.
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat reda dan pembinaan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Baginda bertitah cadangan itu dibuat memandangkan kos penganjuran temasya berkenaan adalah tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata keputusan mengenai penganjuran SUKMA Selangor 2026 dijangka dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa khas yang akan diadakan pada 30 April ini.









